
Menangani rasuah perlu menjadi agenda utama seseorang pemimpin negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap dalam sesi soal jawab pada forum kepemimpinan anjuran konglomerat utama Indonesia CT Corp di Jakarta semalam, Anwar mengulangi pendirian membersihkan Malaysia daripada masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang telah menjalar sejak sekian lama.
Usaha itu menurut Anwar adalah satu langkah penting bagi menunjuk teladan yang baik dari seorang pemimpin kepada penjawat awam dan rakyat.
"Rasuah itu seperti juga di Malaysia, itu sistemik daripada atas sampai ke bawah. Tidak mungkin kita dapat bertahan tanpa menerima atau bertolak ansur dengan rasuah.
"Itu cabaran terbesar kita. Saya tidak fikir kita boleh mentadbir tanpa akauntabiliti," jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar ketika menjawab soalan dilontarkan CEO CT Corp, Chairul Tanjung mengenai hala tuju Malaysia di bawah pentadbirannya menjelaskan beliau bukan mahu menangani isu rasuah semata-mata namun lebih daripada itu beliau mahu menjadi sosok Melayu Islam yang ikhlas membela nasib rakyat.
"Saya mahu negara Malaysia yang demokratis dan adil, saya mahu orang kenal usaha Anwar untuk Malaysia itu," ujar Pengerusi Pakatan Harapan tersebut.