Sudah terbiasa ustaz Ebit Lew dilihat membantu begitu banyak insan malang yang tidak mempunyai rumah, dibawa berpindah ke rumah yang ditanggung sewa bulanan.
Namun Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran (gambar, dua dari kanan) bukanlah Ebit Lew. Beliau hanya membantu rakyat di Parlimennya sedaya upaya yang termampu untuk mereka mendapat sedikit keselesaan hidup.
Menurut Prabakaran, baru-baru ini pada 12 Januari, Sarawanan bersama isterinya berkunjung ke Pusat Khidmat Parlimen Batu meminta pertolongan kerana tiada tempat kediaman untuk menetap.
Oleh itu, beliau dan pasukan membawa mereka ke pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan meminta bantuan untuk mendapatkan rumah keluarga. Semasa DBKL memproses permintaan itu, Sarawanan dan keluarganya tinggal di rumah rakan mereka dekat Selayang.
"Sarawanan, isteri dan dua anaknya tidak memiliki rumah juga pernah tidur di koridor pejabat DBKL selama beberapa hari.
"Pada 9 Februari 2021, dengan rahmat Tuhan, mereka ditawarkan flat PPR kos rendah.
"Terima kasih kepada DBKL kerana mempertimbangkan nasib mereka dan atas tawaran itu. Sekarang mereka mempunyai rumah sendiri untuk tinggal," kata Prabakaran dalam catatan di Facebooknya.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan itu lagi, beliau akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk komuniti selagi terdaya.
Beliau juga gembira dengan sokongan yang diterima dari pelbagai persatuan membantu usaha murninya.
"Saya akan terus melakukan yang terbaik untuk masyarakat dengan cara yang terbaik walaupun kekurangan dana dan sokongan daripada pemerintah yang berkuasa.
"Saya gembira memberitahu bahawa banyak NGO dan individu tempatan menghubungi saya setiap hari dan menyatakan minat mereka untuk menyokong usaha saya dalam meningkatkan kehidupan masyarakat di Batu dan di kejiranan," katanya lagi.
Comments