Sarawak teliti pendekatan lebih berkesan kawal jangkitan rabies
- Suara Keadilan

- Mar 23
- 1 min read

Kerajaan Negeri Sarawak sedang meneliti pendekatan berkesan dalam usahanya mempertingkat usaha mengawal rabies, khususnya kes jangkitan melibatkan kucing.
Susulan itu, perbincangan mengenainya telah diadakan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi merangka pelan tindakan bersepadu, menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
"Rabies terus menjadi ancaman yang serius di Sarawak dengan kira-kira separuh daripada kes gigitan dan cakaran yang dilaporkan melibatkan kucing, selain anjing terbiar.
"Pada masa ini, cabaran utama dalam kawalan rabies ialah pemvaksinan kepada kucing, yang lebih mencabar kerana haiwan terbabit mudah mencakar dan air liurnya berpotensi membawa virus berbahaya itu," katanya dipetik.
Kui Hian berkata begitu kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra anjuran pemimpin komuniti dan ketua masyarakat kawasan Parlimen Petra Jaya di Kuching pada Ahad.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan ancaman rabies.
Orang ramai jelasnya perlu sentiasa mengambil langkah pencegahan termasuk memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin secara berkala.
"Tindakan segera perlu diambil sekiranya digigit anjing atau dicakar kucing termasuk membersihkan luka dengan air dan mendapatkan rawatan di klinik untuk pemeriksaan serta vaksinasi.
"Vaksin rabies untuk manusia kini boleh diperolehi di klinik, sekali gus membolehkan rawatan diberikan dengan cepat dan berkesan," tambahnya.




Comments