Sarawak tambah 17 kerusi DUN: Proses persempadanan perlu patuh Perlembagaan
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan penambahan 17 kerusi baharu DUN menimbulkan beberapa persoalan penting berkaitan proses perlembagaan serta integriti persempadanan semula kawasan pilihanraya.
Ahli Dewan Negara, Abun Sui Anyit (gambar) berkata walaupun keputusan itu telah diluluskan melalui pindaan komposisi keanggotaan DUN Sarawak, proses persempadanan kawasan pilihanraya perlu dilaksanakan secara tertib dan mematuhi sepenuhnya peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk menjalankan kajian semula dan menentukan persempadanan kawasan pilihanraya terletak pada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
Proses tersebut juga, katanya, tertakluk kepada prinsip-prinsip yang digariskan dalam Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan termasuk keseimbangan bilangan pengundi, faktor geografi, kemudahan komunikasi serta kepentingan komuniti setempat.
"Sebarang cadangan persempadanan baharu perlu melalui proses yang telus termasuk pameran awam, peluang bantahan serta siasatan tempatan sebelum laporan akhir dikemukakan dan seterusnya dibentangkan untuk kelulusan Parlimen Malaysia," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Abun turut menyuarakan kebimbangan terhadap persepsi yang tersebar di media sosial bahawa 17 kerusi baharu yang dicadangkan itu seolah-olah telah diagihkan terlebih dahulu dalam kalangan komponen parti tertentu sebelum proses rasmi persempadanan dijalankan oleh SPR.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu, sekiranya persepsi tersebut benar, ia boleh menimbulkan kebimbangan bahawa proses yang sepatutnya bebas dan berasaskan prinsip perlembagaan telah didahului oleh pertimbangan politik kepartian.
"Keadaan ini berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap ketelusan dan keadilan dalam proses persempadanan kawasan pilihanraya," jelas beliau.
Abun menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, sebarang perubahan kepada struktur perwakilan rakyat mesti dilaksanakan secara bebas, telus dan mematuhi peruntukan perlembagaan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada SPR menjalankan tanggungjawabnya secara profesional tanpa sebarang tekanan atau persepsi campur tangan politik.
"Rakyat Sarawak berhak mendapat jaminan bahawa proses persempadanan kawasan pilihan raya dilaksanakan secara adil, telus dan selaras dengan semangat serta kehendak Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.




Comments