top of page

PRN Johor: PH perlu tampil bersatu, elak persepsi perpecahan

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Mar 7
  • 1 min read

Gabungan Pakatan Harapan (PH) perlu menampilkan kesatuan yang lebih jelas dan matang dalam menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka akan berlangsung pada hujung tahun ini.


Pengarah Pilihanraya Angkatan Muda KEADILAN Johor, Jalex Lee berkata, semua parti komponen dalam PH perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan organisasi serta persediaan jentera parti, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi perpecahan dalam gabungan.


Menurut beliau, fokus utama ketika ini adalah untuk memperkukuh kekuatan kolektif gabungan bagi meyakinkan rakyat Johor bahawa PH mampu menawarkan kepimpinan yang stabil dan diyakini.


"Dalam mana-mana perjuangan politik, matlamat utama adalah untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi bagi memperkukuhkan kedudukan gabungan dalam membentuk kerajaan.

Jalex Lee
Jalex Lee

"Namun kemenangan tersebut hanya dapat dicapai melalui strategi bersama yang tersusun, disiplin politik yang tinggi serta perbincangan dalaman yang lebih konstruktif dan matang antara semua komponen," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata, penekanan terhadap kerja organisasi di peringkat akar umbi itu juga selari dengan pandangan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor, Faezuddin Puad yang sebelum ini menyeru agar semua pihak memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kekuatan gabungan.


Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa semua pihak dalam PH agar memberi tumpuan kepada usaha membina kekuatan organisasi masing-masing, memperkasakan jentera parti dan mendekati rakyat dengan agenda yang jelas.


Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar isu perebutan kerusi tidak dijadikan polemik terbuka yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap gabungan PH.


"Kita perlu mengelakkan isu perebutan kerusi yang boleh menimbulkan persepsi rakus kuasa.


"Sebaliknya, kita harus memperlihatkan kesungguhan untuk bekerjasama sebagai satu pasukan demi memperjuangkan kepentingan rakyat Johor," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page