Saranan PM hantar bantuan melalui jalan darat ke Gaza realistik
- Suara Keadilan

- Oct 13
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Malaysia kekal teguh dengan pendekatan diplomasi dalam membantu rakyat Palestin walaupun terdapat pihak yang mempertikaikan jalur hubungan dengan negara Arab tertentu serta menyeru supaya Malaysia memutuskan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS).
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Datuk Lahirul Latigu menegaskan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menggunakan hubungan baik Malaysia dengan Mesir bagi meneruskan bantuan kemanusiaan ke Gaza menggunakan jalan darat merupakan strategi yang berhemah dan berpaksikan realiti semasa.
"Keputusan Malaysia meneruskan bantuan melalui jalan darat menggunakan hubungan baik dengan Mesir adalah langkah realistik dan bijaksana.

"Ini bukan tanda tunduk kepada mana-mana kuasa, tetapi manifestasi diplomasi matang yang menjadi kekuatan Malaysia sejak awal perjuangan Palestin.
"Dalam dunia diplomasi moden, akses adalah kekuatan. Malaysia tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel, namun berjaya membina saluran bantuan dan rundingan melalui negara ketiga seperti Mesir, Turkiye dan Qatar.
"Pendekatan ini membolehkan bantuan kemanusiaan sampai tanpa menimbulkan risiko kepada sukarelawan," kata Lahirul kepada Suara Keadilan.
Tambah beliau, respon beberapa pihak mendakwa pendekatan diplomatik melalui jalur negara Arab seperti Mesir “tidak sejajar dengan semangat jihad” selain menyarankan agar Malaysia mengkaji semula hubungan dengan kuasa besar seperti AS lahir daripada kefahaman yang sempit.
Tambah Lahirul, perjuangan Palestin perlu mengambil kira dimensi diplomasi antarabangsa yang menjadi kunci kepada kejayaan menyalurkan bantuan secara berkesan.
"Bagi pihak yang menuduh pendekatan ini tidak sejajar dengan semangat jihad, saya berpandangan bahawa jihad bukan hanya di medan perang, tetapi juga di medan diplomasi, kebijaksanaan dan kemanusiaan.
"Malaysia sedang berjihad dengan cara tersendiri, menggunakan suara, reputasi dan pengaruh diplomatik untuk membuka laluan yang tertutup dan menyelamatkan nyawa yang sedang dikepung.
"Menyeru supaya Malaysia memutuskan hubungan dengan Amerika Syarikat atau negara Arab hanya akan melemahkan saluran bantuan dan merugikan perjuangan rakyat Palestin sendiri.
"Dunia sedang berubah, dan perjuangan ini memerlukan kecerdasan strategi, bukan kemarahan semata-mata.
"Akhirnya, Malaysia harus terus memainkan peranan sebagai jambatan dunia Islam dengan kuasa besar antarabangsa, serta mengekalkan reputasi sebagai suara moral dunia yang membawa mesej keadilan dan kemanusiaan," katanya lagi.
Minggu lalu PM berkata, beliau akan bertemu NGO yang sering menghulur bantuan ke Gaza selepas pembentangan Belanjawan 2026 untuk membincangkan penghantaran bantuan melalui jalan darat menggunakan lintasan sempadan Mesir selepas misi menghantar bantuan melalui laut disekat oleh tentera Israel.









Comments