SARA untuk semua: Niat baik, usaha PM bela rakyat jadi kenyataan
- Suara Keadilan

- Jul 24
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Rakyat terbanyak tidak faham perjuangan sebenar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dua dekad lalu adalah bagi mengecilkan jurang kesenjangan hidup kelas bawahan dan atasan.
Semalam dengan pengumuman penghargaan kepada rakyat Malaysia yang dibuat PM maka jelas visi beliau untuk membela nasib semua lapisan masyarakat telah pun menjadi kenyataan selepas dua tahun berkuasa.
Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young (gambar) pengumuman semalam merupakan 'jiwa' terdalam Datuk Seri Anwar yang tidak tega melihat rakyat terus dalam kesusahan menghadapi kos kehidupan pasca pandemik.
''Rakyat menyambut baik setiap inisiatif dengan penuh kesyukuran dan berlapang dada.
''Hari ini (semalam) saya merasa amat gembira bukan sekadar disebabkan pengumuman inisiatif yang disampaikan oleh PM Anwar, tetapi lebih daripada itu.
''Telah terbukti keyakinan saya dan segala jangkaan terhadap niat dan usaha PM Anwar selama ini telah pun menjadi kenyataan.
''Kita harus terus berdiri teguh bersama beliau demi Malaysia yang lebih adil, saksama, makmur dan MADANI,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Ujar David Cheong, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang diumumkan semalam adalah satu langkah luar biasa dan bersejarah.
Katanya, buat julung kalinya dalam sejarah negara, bantuan tunai diagihkan kepada seluruh rakyat dewasa tanpa diskriminasi, sekali gus mencerminkan semangat inklusif dan kepimpinan yang adil.
''Penurunan harga petrol RON95 ke RM1.99 seliter adalah satu kejutan menggembirakan yang dinanti-nantikan.
''Ia membawa impak besar kepada ekonomi isi rumah dan kos pengangkutan secara keseluruhan serta menunjukkan keazaman kerajaan dalam melindungi kuasa beli rakyat.
''Tiada kenaikan tol bagi 10 lebuh raya dengan peruntukan lebih RM500 juta pula merupakan langkah bijaksana yang melegakan jutaan pengguna jalan raya. Ia menunjukkan keutamaan kerajaan dalam meringankan beban kos hidup rakyat secara langsung,'' puji beliau terhadap kepimpinan yang diterajui Anwar masa kini.
Susulan serangan yang dilemparkan terhadap Anwar berkait isu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan harga barang serta langkah rasionalisasi subsidi, David Cheong tampil menepis tohmahan berkenaan dan mempertahankan Ahli Parlimen Tambun itu.
''Saya cukup kenal PM Anwar, hatinya suci dan jiwanya murni.. kita harus terus yakin kepada ketegasan dan keikhlasan beliau dalam membawa perubahan yang menyeluruh dan berstruktur.
''Beliau pasti melakukan yang terbaik untuk memajukan negara dan mengutamakan kebajikan rakyat,'' katanya lagi.









Comments