SARA RM100 untuk semua rangsang sektor peruncitan negara
- Suara Keadilan

- Jul 24
- 1 min read
Updated: Jul 25

Oleh: Akmal Manaf
Inisiatif bernilai RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mencerminkan langkah progresif dan berpandangan jauh yang bakal memberi impak positif kepada ekonomi negara.
Itu gambaran yang diberikan oleh Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kepong, Jeremy Ang susulan pengumuman beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat.
Katanya, bantuan tersebut dilihat menggabungkan nilai keprihatinan terhadap kos sara hidup rakyat dengan strategi ekonomi mampan yang berasaskan perbelanjaan tunai.
''Saya menyokong penuh pelaksanaannya dan percaya, jika dilaksanakan dengan telus, cekap dan inklusif, ia akan memberi impak berganda kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
''Inisiatif itu merupakan satu pendekatan fiskal yang strategik dan berimpak tinggi, bukan sekadar bantuan tunai seperti sebelum ini, tetapi bersifat lebih terarah kerana mendorong perbelanjaan sebenar dalam tempoh tertentu, sekali gus merangsang ekonomi tempatan.
''Melalui mekanisme itu juga, bantuan yang diberikan bukan hanya disimpan dalam akaun bank penerima, sebaliknya dibelanjakan secara terus dan mencetuskan kesan limpahan ekonomi yang lebih besar,'' katanya.
Jeremy berpendapat, pendekatan itu sejajar dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa dan menjadikan Kerajaan Hong Kong sebagai contoh.
''Kerajaan Hong Kong telah melaksanakan program baucar digital sebanyak HK$5,000 hingga HK$10,000 kepada penduduk dewasa dari 2021 hingga 2023.
''Kajian mendapati penerima membelanjakan lebih daripada nilai yang diterima, dengan purata penggunaan mencecah 109 peratus.
''Perbelanjaan ini memberi impak segera kepada sektor peruncitan, makanan dan perkhidmatan kecil, dan membantu perniagaan pulih pasca pandemik.
''Ini mengukuhkan justifikasi bahawa bantuan RM100 melalui SARA bukanlah tindakan populis, sebaliknya satu pelaburan dalam ekonomi rakyat,'' ujarnya beliau yang turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan berkenaan.









Comments