SARA: Dr Fuziah bidas kenyataan beliau dipetik di luar konteks
- Suara Keadilan

- Aug 28
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Ucapan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkaitan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah dimanipulasi pihak tertentu bagi membangkitkan kemarahan rakyat.
Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) melahirkan rasa terkilan kerana pandangannya mengenai bantuan kerajaan kepada rakyat dipetik di luar konteks sehingga mencetuskan salah faham dan kecaman di media sosial.
"Media sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan menyiarkan ucapan penuh supaya mesej sebenar sampai kepada rakyat.
"Kenyataan saya dipetik di luar konteks sehingga memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak memahami penderitaan rakyat. Saya percaya ada pihak yang berniat jahat kerana pandangan saya jelas dimanipulasi," katanya dipetik.
Kenyataan Dr Fuziah yang dimanipulasi menggambarkan Fuziah mendakwa RM100 yang disumbangkan kerajaan kepada warga emas cukup untuk menampung keperluan golongan itu bagi tempoh sebulan.
Sedangkan ucapan asal beliau merujuk kepada nilai sumbangan SARA RM100 untuk pembelian barangan asas.
"Jika pembelian dibuat dengan bijak seperti beras, minyak masak, gula, tepung, telur, kicap dan barangan lain dalam pakej SARA, ada warga emas yang tidak mempunyai ramai tanggungan mungkin boleh menampung keperluan hampir sebulan.
"Namun begitu, ia bergantung kepada bilangan isi rumah serta tanggungan masing-masing," menurut kenyataan asal beliau.
Sementara itu Dr Fuziah menegaskan, biarpun Kerajaan MADANI terus ditohmah dengan tuduhan-tuduhan palsu, namun kerajaan terus komited menjaga kebajikan rakyat dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tegasnya kerajaan sentiasa mengambil perhatian serius dalam membantu meringankan perbelanjaan rakyat dari semasa ke semasa dan akan terus mengorak langkah yang lebih mampan bagi memastikan kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat.









Comments