‘Sanusi selesaikan segera isu gaji staf Kedah Agro’ - Zamri Yusof
- Suara Keadilan

- Mar 15, 2024
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Isu tunggakan gaji kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kedah yang tular di media sosial telah mendedahkan ketidakupayaan Kerajaan Negeri dipimpin Pas dalam menguruskan soal kewangan biar pun pemimpin mereka bercita cita untuk mengambil alih pentadbiran negara.
Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi KEADILAN Kedah, Datuk Zamri Yusof menggesa Menteri Besar (MB) Datuk Seri Sanusi Mohd Nor supaya menyelesaikan isu tungakan gaji kakitangan GLC Kedah Agro Holdings itu dalam waktu terdekat.
Katanya, isu tunggakan berkenaan telah berlarutan sejak September tahun lalu dan tindakan itu tidak masuk akal dilakukan oleh mana-mana majikan apatah lagi sebuah Kerajaan Negeri.
"Isu Kedah Agro yang meleret ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan kelalaian ini sukar untuk dimaafkan.
"Apatah lagi syarikat itu di bawah anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang sewajarnya perlu diberi perhatian langsung daripada Menteri Besar," kata Zamri kepada Suara Keadilan.
Terdahulu, aktivis Mahasiswa KEADILAN Malaysia (MKM) Wan Hadi tampil mendedahkan maklumat tersebut melalui salah seorang kakitangan itu yang mendakwa tidak dibayar selain didakwa tidak menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong kelmarin mengesahkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) sudah memberikan notis kepada Kedah Agro Holdings Berhad supaya segera menyelesaikan isu tunggakan gaji kakitangannya.
Mengulas lanjut, Zamri menegaskan isu membabitkan tunggakan gaji itu tidak sepatutnya dikompromi oleh pentadbiran MB Sanusi yang sering memperlekehkan orang lain.
Katanya, hal tersebut perlu diselesaikan segera sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan.
"Saya dimaklumkan MBI minta penangguhan hingga 17 Mac ini kepada JKTSM sebagai talian hayat terakhir mereka, jadi langsaikan hutang tunggakan sebelum akhir Ramadan," ujarnya.
Sebelum ini laporan BH dipetik, Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah, Zafir Annuar Ghazali, berkata pihaknya sedang meneliti isu berkenaan dan akan merujuk kepada Kerajaan Negeri bagi mendapatkan penyelesaian terbaik









Comments