top of page

Sandbox mikromobiliti diperkenal di Subang Jaya, atasi kesesakan trafik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 hours ago
  • 2 min read

Michelle Ng (di depan), pasukan BEAM, dan Jabatan Kejuruteraan MBSJ (belakang) menjalankan survei ketersediaan infrastruktur di tapak pada tahun 2023 lalu. Gambar arkib
Michelle Ng (di depan), pasukan BEAM, dan Jabatan Kejuruteraan MBSJ (belakang) menjalankan survei ketersediaan infrastruktur di tapak pada tahun 2023 lalu. Gambar arkib

Oleh: Akmal Manaf


Kawasan komersial SS15 mencatat sejarah apabila dipilih sebagai lokasi pelaksanaan sandbox mikromobiliti pertama di Subang Jaya, Selangor sebagai satu langkah perintis yang dijangka mengubah landskap pengangkutan bandar ke arah lebih hijau, fleksibel dan mesra rakyat.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng berkata, pelaksanaan rasmi sandbox mikromobiliti itu menandakan satu lonjakan penting dalam usaha membina sistem pengangkutan bandar yang lebih lestari, cekap dan berorientasikan rakyat.


"Ia bukan sekadar memperkenalkan mod pengangkutan baharu, tetapi satu percubaan berani untuk mengubah cara kita bergerak di bandar lebih hijau, lebih mudah dan lebih inklusif.


"Fasa 1 melibatkan penyambungan kawasan SS16 ke SS15, manakala Fasa 2 melibatkan penambahbaikan keselamatan laluan basikal Fasa 1, di samping menambah laluan basikal di SS14 dan SS18 atas permintaan penduduk di sana.


"Fasa 3 akan dilaksanakan pada tahun ini untuk menyambung SS19 ke SS12, dan kini sedang dalam perbincangan bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Bike Commute bagi tujuan reka bentuk laluan yang selamat dan praktikal," katanya dalam satu kenyataan.


Ujar Michelle lagi, kawasan SS15 berdepan masalah serius melibatkan kekurangan tempat letak kereta, ditambah dengan pembangunan sedia ada di kawasan tersebut menjadikan tiada ruang fizikal bagi membina parkir tambahan.


Katanya, walaupun MBSJ telah melaksanakan sistem parkir 2 jam bagi meningkatkan kadar ‘turnover’ tempat letak kereta di SS15, masalah ketidakcukupan parkir di kawasan itu masih wujud.


"Oleh itu, ia adalah tanggungjawab kita sebagai pembuat dasar untuk membekalkan alternatif mod pengangkutan kepada pengunjung.


"Saya berharap sandbox mikromobiliti ini bukan sahaja membantu mengurangkan kesesakan dan masalah parkir di SS15, tetapi juga membentuk budaya mobiliti baharu yang lebih hijau, sihat dan mampan untuk Subang Jaya.


"Jika sandbox ini berjaya, saya berharap agar mod pengangkutan alternatif ini boleh diperluaskan di kawasan lain di Subang Jaya supaya lebih ramai penduduk dan peniaga dapat menikmati manfaatnya daripada perjalanan yang lebih mudah, kos yang lebih rendah, sehinggalah persekitaran bandar yang lebih bersih dan berkualiti," katanya lagi.


Inisiatif itu telah bermula sejak Disember 2023 apabila syarikat BEAM mengemukakan cadangan kepada MBSJ untuk melaksanakan perkhidmatan e-scooter mikromobiliti daerah berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page