top of page

Kerjasama BN-PH bukan punca UMNO ditolak pengundi di Wilayah Persekutuan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jan 17
2 min read

Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bukan punca UMNO ditolak oleh pengundi di Wilayah Persekutuan, sebaliknya penolakan itu telah berlaku sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 akibat kegagalan kepimpinan dan krisis kepercayaan dalam parti tersebut.


Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan, Mohammad Rais (gambar), warga kota menilai parti politik berdasarkan prestasi, integriti dan keupayaan mentadbir, bukannya semata-mata berdasarkan bentuk kerjasama politik yang dijalin.


"Hakikatnya, UMNO di Wilayah Persekutuan ditolak kerana kegagalan kronik kepimpinan parti itu sendiri terperangkap dalam budaya lama serta sarat dengan krisis kepercayaan.


"Rakyat bandar tidak lagi boleh diperdaya dengan slogan kosong dan nostalgia kuasa silam. Selagi UMNO terus menafikan realiti, menyalahkan pihak lain, dan mempertahankan watak serta amalan yang ditolak rakyat, selagi itulah parti itu akan kekal dihukum di peti undi," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, cubaan mengurangkan penilaian rakyat kepada satu faktor tunggal mencerminkan kegagalan memahami perubahan pemikiran pengundi bandar yang kini semakin rasional, kritikal dan menuntut dasar yang benar-benar berkesan.


"Lebih malang, Pemuda UMNO yang sepatutnya menjadi suara pembaharuan kini sekadar mengulangi retorik usang pimpinan lama. Daripada tampil dengan idea segar dan solusi buat generasi muda bandar, mereka memilih jalan mudah dengan menuding jari, mencipta musuh serta menanam sentimen sempit," ujarnya.


Sikap tersebut, kata beliau membuktikan bahawa krisis UMNO bukan masalah struktur semata-mata, tetapi kegagalan generasi mudanya sendiri untuk bangkit melampaui bayang-bayang politik lama yang telah ditolak rakyat.


Manakala dalam konteks pasca PRU15, Mohammad menegaskan bahawa kerjasama politik adalah satu keperluan kenegaraan demi kestabilan dan pembaharuan negara, bukannya satu kelemahan.


"Menolak kerjasama tanpa menawarkan alternatif yang jelas hanya akan menjauhkan parti daripada aspirasi sebenar rakyat," ujarnya.


AMK Wilayah Persekutuan turut menegaskan bahawa politik masa depan menuntut kejujuran, keberanian untuk bermuhasabah serta kesediaan bekerjasama demi kepentingan negara, bukannya politik menyalahkan pihak lain demi kelangsungan dalaman parti.


"Menjadikan kerjasama sebagai kambing hitam hanyalah cubaan menutup kegagalan sendiri. Rakyat Wilayah Persekutuan cukup matang untuk membezakan antara alasan dan kebenaran," katanya.


Beliau turut menyeru semua parti politik agar menjadikan pembangunan negara dan kebajikan rakyat sebagai matlamat utama perjuangan, selaras dengan semangat penubuhan Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara berterusan.


"Marilah jadikan objektif pembangunan negara sebagai matlamat utama perjuangan parti masing-masing. Elakkan kepentingan sepihak akhirnya merugikan negara dan rakyat.


"Insafi semangat penubuhan Kerajaan Perpaduan, mungkin segala marah-marah yang timbul kebelakangan ini dapat reda dan tidak berpanjangan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page