Ratib Selangor kurang prestasi selepas pemimpin Bersatu, Azmin Ali meninggalkan negeri itu terus diwirid oleh Setiausaha Politiknya, Hilman Idham yang sama sama berkhianat dalam Langkah Sheraton pada 2020 lalu.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor, Izuan Kasim, tindakan Hilman yang seperti pepatah "tidak jauh rebung dari rumpunnya" dalam memesongkan kenyataan sebenar berkenaan prestasi Kerajaan Pakatan Harapan Selangor seolah olah telah 'lulus' ilmu membodohkan rakyat yang digunapakai oleh BN selama ini.
Katanya, Hilman seharusnya sedar fakta bahawa sepanjang pemerintahan Azmin di Selangor rizab simpanan negeri tidak pernah meningkat tetapi telah menokok kepada RM3.4 bilion pada era pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
"Hakikatnya Hilman harus sedar apabila Azmin Ali meninggalkan Selangor demi menjadi Menteri Ekonomi Malaysia yang gagal, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin bertungkus lumus bersama pasukan beliau untuk memastikan Selangor kekal menjadi penyumbang KDNK negara yang terbesar.
"Ini terbukti dengan peningkatan jumlah KDNK pada tahun 2018 sebanyak 23.7% ke 24.8% pada 2021.
"Di saat Malaysia menghadapi wabak Covid-19 ditambah dengan ketidaktentuan politik selepas langkah Sheraton yang dipelopori oleh bos beliau sendiri. Datuk Menteri Besar memperkenalkan pakej rangsangan Kita Selangor yang memberi pemulihan kepada ekonomi Selangor," katanya.
Sebaliknya, kata Izuan, rakyat Selangor amat bersyukur kerana negeri diperintah oleh kerajaan Pakatan Harapan yang berwibawa dan tidak merosakkan pemikiran mereka dengan ketaatan membabi buta kepada pemimpin sehingga khianat mandat pilihan raya pun dikira sesuatu yang mulia.
"Hilman seharusnya bersyukur rakyat Selangor dipimpin oleh kerajaan yang benar-benar mementingkan rakyat bukannya sibuk dengan percaturan kuasa tanpa mempedulikan perut rakyat.
"AMK Selangor menasihatkan agar Hilman untuk menikmati sisa waktu perkhidmatan bersama Azmin Ali sebelum diberi jalan bersara awal oleh rakyat pada PRU kali ini menggunakan kesempatan itu sebaik baiknya.
"AMK Selangor percaya rakyat Selangor akan tetap memberi sokongan kepada Datuk Sri Amirudin untuk terus memimpin negeri ini agar terus maju dan diberkati," katanya lagi.
Comments