Sambutan Krismas Bandar Segamat perkukuh perpaduan komuniti - Yuneswaran
- Suara Keadilan
- 25 minutes ago
- 2 min read

Sambutan Krismas Bandar Segamat 2025 yang dianjurkan oleh Persatuan Penganut Kristian Bandar Segamat, Johor disifatkan sebagai platform penting dalam mengukuhkan semangat kebersamaan serta perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di daerah ini.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, majlis yang menghimpunkan komuniti Kristian dari seluruh kawasan Segamat itu mencerminkan kekuatan keharmonian yang terhasil daripada kepelbagaian.
"Saya berbesar hati merasmikan Sambutan Krismas Bandar Segamat 2025 yang menghimpunkan komuniti Kristian dari seluruh kawasan ini.
"Majlis ini mencerminkan semangat kebersamaan dan kekuatan perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi asas keharmonian Segamat," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, majlis yang berlangsung di Restoran Tong Fook, Kampung Paya Pulai itu bukan sahaja diraikan sebagai perayaan keagamaan, malah berperanan sebagai wadah memperkukuh hubungan sosial dan jaringan kerjasama dalam kalangan masyarakat Kristian setempat.
"Penganjuran majlis seperti ini bukan sekadar perayaan keagamaan, tetapi wadah penting untuk mengukuhkan hubungan sesama masyarakat serta memperkukuh jaringan kerjasama antara penganut Kristian di bandar ini," ujarnya.
Ahli Parlimen Segamat itu turut merakamkan penghargaan kepada para pastor dan penganjur yang berjaya menghimpunkan komuniti Kristian dalam satu sambutan bersama.
Tambah Yuneswaran, sambutan itu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian rohani termasuk alunan koir, doa yang dipimpin oleh Pastor Vincent serta sermon yang menekankan nilai kasih sayang, saling menghormati dan perpaduan.
"Setiap kawasan pastor turut menghantar wakil persembahan, sekali gus memberi pengalaman baharu kepada komuniti setempat dalam memupuk kerjasama rentas gereja dan latar belakang," jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa semangat muhibah yang ditonjolkan dalam majlis tersebut selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan perpaduan, kefahaman dan rasa hormat antara penganut agama.
"Saya percaya semangat muhibah yang dizahirkan malam ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani untuk membina sebuah negara yang bersatu padu, saling memahami dan menghormati kepercayaan masing-masing," katanya.
Beliau berharap Sambutan Krismas Bandar Segamat akan terus menjadi pemangkin kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat setempat.





