Sambutan 27 Tahun Reformasi ingatkan pahit getir perjuangan - Shamsul
- Suara Keadilan

- Sep 21
- 2 min read

Sambutan 27 Tahun Reformasi dianjurkan KEADILAN Melaka malam tadi selain mengingatkan semula detik bersejarah sejak dua dekad lalu turut mengenang tujuan perjuangan keramat itu dilancarkan pada 1998.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar), himpunan itu juga dianjurkan bagi mengumpulkan rakan rakan seperjuangan yang kini berada dalam pelbagai parti.
"... supaya kita dapat memperingati semula jejak jejak yang lama. Kita ambil mana tertinggal, apabila kita mendengar pandangan tokoh, mereka yang terlibat lebih awal, ada teguran. Ini penting untuk kita ambil (pendapat) dan kemudian diperbaiki (organisasi).
"Ini juga adalah program yang boleh mengikat rakan rakan dari pelbagai parti kerana setelah reformasi banyak mereka memilih haluan dan parti masing masing.
"Misalnya Datuk Hassan Baharom sebagai penggerak awal keadilan sosial di Melaka, beliau memilih AMANAH. Bagi saya ini (majlis sambutan) plafform sangat baik," katanya sewaktu ditemui pemberita usai majlis Sambutan 27 Tahun Reformasi di Hotel Bayview, Melaka, malam tadi.
Sebelum itu dalam ucapan sempena mengenang 27 tahun reformasi, Shamsul berkata, anggota KEADILAN seharusnya lebih bersedia menjawab tohmahan yang dilemparkan kepada PM di media sosial sebagaimana dua dekad lalu mereka adalah agen kesedaran rakyat yang menafikan tohmahan dilemparkan pemerintah terhadap Anwar.

"Banyak serangan yang kita hadapi, fitnah di media sosial. Saya rayu rakan rakan sama sama bantu presiden jawab serangan fitnah. Sebab kita anggota parti yang sudah lalui semua itu," ujarnya.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu turut mahu anggota parti dan para reformis menjiwai perobahan yang sedang dilakukan oleh PM Anwar untuk menjadikan Malaysia lebih baik sebagaimana dicita citakan sejak 27 tahun lalu.
"Saya harap semua memahami apa yang sedang dilakukan oleh beliau, presiden kita juga manusia, ada salah silap.
"Tetapi kita perlu menjiwai apa yang dia lakukan. Kita semua perlu mainkan peranan untuk membantu beliau," katanya.
Selain itu, Shamsul mengimbau memori lampau, kisah sewaktu beliau sebagai pemimpin pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa menyertai demonstrasi jalanan buat pertama kali pada 20 September 1998.
Katanya, beliau di barisan hadapan bergerak dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka, berjalan 10 langkah ke depan, tengok ke belakang adakah orang ramai ikut bersama.
Sampai di Dataran Merdeka, katanya, mereka terhenti melihat FRU telah mengepung kawasan berkenaan, sedangkan arahan kepada demonstran untuk berkumpul di Dataran Merdeka. Mujur, katanya, demonstran semakin banyak dan FRU berundur, maka 200,000 reformis waktu itu memenuhi Dataran Merdeka.
Shamsul juga menceritakan pertanyaan beliau kepada Anwar selepas peristiwa 20 September, sedangkan himpunan rakyat ketika itu mampu menjatuhkan kerajaan sebagaimana berlaku di Indonesia pada 13 Mei 1998 mengulingkan Presiden Suharto.
Katanya, Anwar menegaskan, jika berlaku gelombang rakyat mungkin ada korban tetapi itu bukanlah caranya. Kalau jatuhkan kerajaan dengan cara itu tidak mustahil kumpulan lain akan cuba menjatuhkan dengan cara sama. Jadi cara terbaik adalah melalui pilihanraya.
Dan selepas itu adalah sejarah panjang. Anwar dinobatkan sebagai PM Malaysia ke 10 selepas 'tertangguh' 24 tahun hasil jerih payah pejuang reformasi yang 'pantang undur' selagi Bapa Reformasi tidak menjadi perdana menteri.









Comments