Sambut saranan PM perangi rasuah ke akar umbi - Abun Sui Anyit
- Suara Keadilan

- Jan 12, 2024
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Semua pihak diseru agar menyahut seruan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim memerangi amalan rasuah dan penyelewengan bagi membersihkan semula imej Malaysia.
Menurut Senator Abun Sui Anyit, sebagai rakyat yang cintakan negara seharusnya saranan pemimpin Reformasi itu dalam memperbaiki tatakelola diberi keutamaan sama ada oleh kakitangan awam, mahu pun rakyat biasa.
"Setelah mendengar sendiri komitmen Presiden KEADILAN dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat pada 7 Januari lepas dan video (ucapan) yang sedang viral, memang sangat wajar usaha Perdana Menteri disokong oleh semua rakyat yang mahu melihat Malaysia bangkit semula dan bersih daripada gejala rasuah di negara ini," kata Timbalan Pengerusi KEADILAN Sarawak itu dalam satu kenyataan.
Jelasnya, sekiranya rakyat tidak terlibat secara langsung dalam misi memerangi ketirisan dan penyelewangan itu maka beliau menyeru supaya mereka mendoakan agar misi tersebut dapat dicapai sesegera mungkin oleh kerajaan.
"Jika kita tidak boleh terlibat secara langsung dan dekat, sekurang-kurangnya kita mendoakan Perdana Menteri, pihak polis, SPRM dan Bank Negara serta badan-badan lain yang terlibat secara langsung dengan misi membanteras rasuah (berjaya), memandangkan amalan itu telah (berlaku) dengan lama," ujarnya.
Dalam pada itu, Abun Sui juga mahu rakyat mencontohi kemajuan dikecapi Singapura selepas pemimpin negara itu memerangi rasuah secara menyeluruh beberapa dekad yang lalu.
"Rakyat seharusnya bekerjasama dan bersatu hati dalam memerangi perasuah-perasuah yang maha kaya.
"Kita tidak ada pilihan selain menyokong PM sekarang yang benar-benar ada asas moral untuk menghapuskan rasuah-rasuah dalam negara," ujarnya.
Justeru, tegas beliau, amalan rasuah perlu dihentikan pada penggal ini dan Perdana Menteri sewajarnya diberi kuasa pada pilihanraya akan datang bagi memastikan budaya ketirisan dihentikan.
"Kita bakal mewariskan kerajaan yang bersih kepada anak cucu kita.
"Oleh itu, negara bebas rasuah inilah peninggalan harta dan hadiah terbaik bagi generasi masa depan anak cucu kita," katanya lagi.
Sementara itu, klip video ucapan PM Anwar terbabit yang dikongsi Tan Sri Lobai Marang mendapat tontonan mencecah 183,900 dan 8,013 sukaan serta 1319 ciapan dalam akan berkenaan.




Comments