Sambung moratorium selepas September - Akmal Nasir
- Redzuan Shamsudin
- Jul 29, 2020
- 2 min read

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Akmal Nasir menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyambung moratorium ke atas pembayaran hutang bank selepas tempohnya berakhir September ini.
Ahli parlimen Johor Bahru itu berkata, gambaran yang diberikan dalam jawapan menteri PN di Parlimen kelmarin seolah-olah kaedah yang akan diguna selepas ini tidak lagi mengendahkan rayuran rakyat agar tempoh penangguhan bayaran itu dilanjutkan.
Hal itu, kata Akmal, termasuk kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa sektor perbankan kerugian RM1.6 bilion setiap bulan sepanjang moratorium atau RM6.4 bilion secara keseluruhan.
"Susulan jawapan menteri itu, saya menerima pertanyaan kumpulan anak muda, termasuk yang telah berkeluarga, individu, juga usahawan kecil mengenai mengapa kerajaan tidak boleh berunding dengan Bank Negara Malaysia dan pihak bank untuk melanjutkan moratorium
"Terdapat beberapa asas dikemukakan yang saya kira wajar dilihat kerajaan PN untuk menyambung tempoh moratorium ini," katanya
Menurut Akmal terdapat empat alasan diberi mengapakah perlunya tempoh moratorium tersebut ditambah.
Katanya, kerugian sektor perbankan yang disebut oleh Menteri Kewangan tidak jelas kerana moratorium adalah penangguhan bayaran hutang bukannya pembatalan hutang.
Bank mengalami kerugian kecil berbanding peniaga yang terpaksa memikul kos barang dan perkhidmatan. Malah peniaga kecil terpaksa membayar faedah terakru (faedah atas faedah)
Kedua, apakah makna pakej ransangan ekonomi 3.0 berkait cukai khas (perlepasan) kepada institusi kewangan yang memberi moratorium kepada pelanggan? Dinyatakan cukai khas tersebut berkaitan pendapatan faedah bayaran tertangguh yang tidak dianggap sebagai pendapatan kasar institusi kewangan. Dengan itu, kata Akmal, bank yang mengenakan cukai terakru diberikan pembebasan cukai.
Ketiga, Terdapat Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2011 atau PIDM yang mana bank-bank Malaysia dilindungi daripada muflis. Sedangkan rakyat yang berdepan keadaan ekonomi tidak menentu tidak dilindungi jika berlaku musibah
Keempat, tanpa lanjutan moratorium pinjaman aktif mungkin menjadi pinjaman tidak berbayar (NPL). Kadar NPL sebelum moratorium sekitar 1.75%. Agak rendah berbanding jika tiada lagi moratorium dan peniaga tidak pula mampu memulihkan pendapatan, maka lonjakan NPL tidak dapat dielakkan
Sehubungan itu, Akmal menjelaskan hanya satu cara untuk memulihkan ekonomi dengan pantas, iaitu melanjutkan moratorium. Jika gagal maka ekonomi akan menguncup dan menyaksikan pelbagai perniagaan berhenti beroperasi kerana kekurangan modal atau ketiadaan untung.
"Kalau kerajaan setuju sambung moratorium ini, ia akan membolehkan peniaga menyambung kegiatan ekonomi. Sebaliknya sekiranya moratorium dihentikan hujung September maka kadar NPL akan meningkat mendadak dan memberi 'kerugian sebenar' kepada bank.
"Oleh itu, saya gesa moratorium disambung sehingga 6 bulan lagi," katanya.
Comments