top of page

Saman Yusoff Rawther: Pas Selangor dikecam ulang naratif dangkal

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 7
  • 2 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Pemuda Pas Selangor dikritik kerana didakwa cuba mengelirukan rakyat apabila mengulangi naratif dangkal berkaitan kes saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, gesaan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar supaya Perdana Menteri bercuti dan memberi fokus kepada kes berkenaan, hanyalah ulangan kepada desakan yang sebelum ini dilontarkan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudeen.


"Desakan yang telah pun dijawab secara jelas oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Sdr Kamil Munim, seolah-olah langsung tidak masuk ke tempurung kepala Ustaz Sukri Omar.


"Beliau ini pernah saya gelar sebagai politikus ‘bodoh sombong’ dan kenyataan terbarunya hanya mengukuhkan lagi gelaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Saifuddin, tindakan Pemuda Pas mengulangi gesaan sedemikian jelas menunjukkan kegagalan memahami prinsip asas demokrasi dan pemisahan kuasa antara eksekutif dan kehakiman – asas penting yang menjadi tonggak sistem pentadbiran negara.


Tegasnya, jika naratif itu dibiarkan berterusan, akan menimbulkan keraguan terhadap kebebasan institusi kehakiman, serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.


Terdahulu, Ketua AMK, Muhamad Kamil Munim telah menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini – yang menolak permohonan Perdana Menteri untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan – membuktikan bahawa badan kehakiman negara membuat keputusan secara bebas tanpa campur tangan politik.


"Jelas berlaku pengasingan dalam urusan eksekutif dan kehakiman malah tadbir urus sebegini dijunjung oleh Kerajaan MADANI dan ia tidak harus dipertikai dan dibimbangi oleh pembangkang.


"Gesaan Pas yang memberi gambaran kononnya wujud campur tangan eksekutif dalam urusan kehakiman adalah satu tuduhan serius dan tidak bertanggungjawab," tegas Saifuddin.

Susulan itu Saifuddin membuat gesaan supaya Pemuda Pas Selangor memainkan peranan sebagai mereka pembangkang yang matang dan bertanggungjawab dengan menumpukan perhatian kepada isu-isu yang benar-benar menyentuh kepentingan awam,


"Bukannya terus berlegar dalam retorik politik murahan yang tidak membawa faedah kepada rakyat," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page