Saman sivil: Desakan PM bercuti kenyataan politik murahan - AMK
- Suara Keadilan
- Jun 6
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyelar kenyataan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercuti sementara menunggu prosiding saman sivilnya selesai, sebagai kenyataan berbaur politik murahan dan tidak bertanggungjawab.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata sekiranya logik yang sama digunakan, maka pimpinan pembangkang seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud juga sepatutnya bercuti ketika berdepan pertuduhan dan saman mahkamah.
"Kenyataan Afnan ini culas dan malas. Jika beliau benar-benar konsisten dengan prinsip kebertanggungjawaban, beliau juga patut mendesak pemimpin-pemimpin pembangkang yang terpalit kes mahkamah untuk bercuti," katanya di Facebook.
Afnan, yang juga Ketua Pemuda Pas, dilaporkan menggesa Anwar mengambil cuti untuk membolehkan kes saman sivil yang difailkan Muhammed Yusoff Rawther berjalan ‘tanpa sebarang campur tangan eksekutif’.
Mengulas lanjut, Kamil menegaskan bahawa kenyataan Afnan seolah-olah secara tidak langsung menggambarkan wujud campur tangan eksekutif dalam sistem kehakiman negara, satu tuduhan yang tidak berasas dan boleh menjejaskan integriti institusi kehakiman.
"Ini satu tuduhan liar dan sangat tidak bertanggungjawab. Faktanya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru sahaja menolak permohonan Perdana Menteri untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, membuktikan mahkamah membuat keputusan secara bebas," tegasnya.
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Rabu menolak permohonan Anwar merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, ia termasuk sama ada seorang perdana menteri mempunyai kekebalan daripada tindakan saman.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda KEADILAN Nabil Halimi, turut mengecam gesaan Afnan dengan menyifatkannya hanya akan mengganggu keutamaan pentadbiran negara dalam melaksanakan mandat rakyat.
"Perdana Menteri sewajarnya terus menjalankan tugas rasmi demi memastikan kestabilan pentadbiran, meningkatkan keyakinan pelabur dan memacu pembangunan negara.
"Gesaan seperti ini tidak lebih daripada usaha mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu sebenar dan mengganggu tumpuan kerajaan terhadap reformasi serta pemulihan ekonomi," tegasnya.
Comentarios