Saifuddin peroleh penghakiman ingkar dalam kes saman fitnah
- Suara Keadilan

- Mar 17
- 1 min read

Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan permohonan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) untuk memasukkan penghakiman ingkar terhadap seorang aktivis media sosial pro Perikatan Nasional (PN) dalam kes saman fitnah yang difailkan beliau.
Peguamnya, Datuk SN Nair berkata, keputusan itu oleh Hakim John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee pada 8 Disember 2025 selepas mahkamah membenarkan permohonan plaintif bersama afidavit sokongan bertarikh 14 November 2025.
"Kami mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi telah memberikan penghakiman ingkar memihak kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terhadap defendan, Muhamad Zubair Ismail, yang dimeterai oleh mahkamah pada 14 Mac 2026," katanya seperti dipetik dalam laporan media semalam.
Pada 11 April lalu, Saifuddin memfailkan saman terhadap Muhamad Zubair atau dikenali sebagai ‘Tam Jebat’.
Individu berkenaan didakwa memuat naik beberapa hantaran berbentuk gambar, video dan kenyataan di Facebook serta TikTok pada 26 dan 27 Mac 2025 yang mengaitkan beliau dengan dakwaan melindungi penjenayah serta menyalahgunakan kedudukan sebagai Menteri Dalam Negeri.
Menurut Saifuddin, tindakan tersebut telah menjejaskan reputasi serta nama baiknya, selain menyebabkan beliau menjadi sasaran kecaman terbuka di media sosial.
Sehubungan itu, tindakan perundangan diambil bagi membersihkan reputasinya serta menegakkan kedaulatan undang-undang.
SN Nair sementara itu menambah, kes berkenaan kini akan diteruskan ke peringkat taksiran ganti rugi, di mana mahkamah akan menentukan jumlah yang wajar bagi ganti rugi am, ganti rugi teruk serta ganti rugi teladan yang akan dianugerahkan kepada Saifuddin.




Comments