'Sabah untuk Sabah' tetapi sampai KL semua mahu masuk Kerajaan Perpaduan
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan penyertaannya dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah kali ini melalui platform Pakatan Harapan (PH) bukanlah untuk menandingi mana-mana pihak, sebaliknya untuk membawa politik nilai yang berteraskan kejujuran, keadilan dan prinsip Rahmah.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, AMANAH memahami sentimen mendalam rakyat terhadap slogan “Sabah untuk Sabah”, namun mengingatkan bahawa martabat negeri itu hanya dapat dijamin melalui sebuah Persekutuan Malaysia yang adil.
"Kami memahami sentimen ‘Sabah untuk Sabah’ yang kuat di hati rakyat negeri ini. Namun AMANAH berpandangan bahawa maruah Sabah tidak akan terpelihara dengan menjarakkan diri daripada Malaysia, tetapi dengan memastikan Malaysia menjadi sebuah persekutuan yang adil kepada Sabah," katanya.
Mahfuz turut membangkitkan persoalan mengenai parti-parti yang mengangkat slogan perjuangan lokal tetapi akhirnya tetap menyertai pentadbiran Persekutuan.
"Sekarang banyak parti kata mereka parti lokal — Warisan, GRS, STAR, UPKO — semua bawa semangat ‘Sabah untuk Sabah’. Tapi bila sampai Kuala Lumpur, semua masuk Kabinet Perpaduan Madani!
"Jadi saya tanya bah… kalau semua sudah dalam kerajaan Persekutuan, mana lagi Sabah untuk Sabah tu?" tanyanya.
Menurutnya, slogan itu kini lebih banyak digunakan sebagai retorik politik berbanding perjuangan sebenar.
"Maknanya ‘Sabah untuk Sabah’ dah jadi slogan politik murahan, bukan perjuangan. Sabah untuk Sabah tapi tidak menyatukan. Parti lokal Sabah pun berpecah. Jangan biarkan politik slogan memecahkan, tapi biarlah politik nilai menyatukan rakyat Sabah," tegasnya.
Mahfuz menambah, AMANAH hadir dalam PRN bukan untuk bergaduh atau berkonflik dengan sekutu, tetapi untuk memperkukuh suara politik berprinsip.
"Biarlah orang kata AMANAH parti kecil, tapi tetap berprinsip. Kecil-kecil cili padi, tapi pedasnya dari Sulabayan Semporna hingga Putrajaya. Dalam politik hari ini, ramai jual prinsip demi kuasa — AMANAH bawa politik nilai demi rakyat," ujar beliau.
Beliau menegaskan Sabah bukan pinggiran, tetapi tiang seri kepada Malaysia, dan kekuatan negeri itu terletak pada kepimpinan yang bersih serta tidak memperalatkan slogan tempatan.
Mahfuz turut menekankan bahawa perbezaan dalam pilihan raya tidak harus meretakkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan Madani di peringkat Persekutuan.
AMANAH, katanya, akan terus memainkan peranan sebagai suara kecil yang tetap teguh mempertahankan integriti politik.
"AMANAH akan terus memainkan peranan sebagai suara kecil yang tidak boleh dijual beli, demi maruah rakyat Sabah dan masa depan yang lebih bersih," katanya lagi.









Comments