Sabah, Sarawak terbela bawah Kerajaan MADANI - Mustapha Sakmud
- Suara Keadilan

- Dec 29, 2025
- 1 min read

Datuk Mustapha Sakmud (gambar) menegaskan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh agenda pembangunan di Sarawak dan Sabah.
Menerusi satu kenyataan, beliau berkata Kerajaan MADANI komited memacu pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di Sarawak melalui pelaburan strategik, pengukuhan sektor tenaga, pembangunan infrastruktur serta pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Komitmen yang sama jelasnya turut dilaksanakan di Sabah dengan memberi tumpuan kepada percepatan projek asas, penambahbaikan kemudahan awam dan usaha merangsang pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat termasuk di luar bandar dan pendalaman.
"Penekanan berterusan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk isu pentadbiran, kewangan serta pengurusan sumber seperti minyak dan gas, membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk memastikan hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak terus dipelihara secara adil dan berprinsip," katanya dipetik.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) turut mengalu-alukan usaha Kerajaan Persekutuan memperluaskan agenda tenaga hijau, pelaburan dalam teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), serta pembangunan modal insan melalui TVET dan pendidikan tinggi.
Manakala Inisiatif perumahan rakyat dan skim pembiayaan inovatif untuk golongan belia pula mencerminkan pendekatan holistik Kerajaan MADANI yang berteraskan kesejahteraan rakyat.
"Ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan mana-mana Wilayah mahupun Negeri, sebaliknya memastikan Sarawak dan Sabah terus menjadi rakan strategik penting membina Malaysia yang makmur, adil dan bersatu.
"Seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sarawak dan Sabah, perlu terus mendokong kepimpinan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda pembangunan Negara berlandaskan prinsip MADANI, sejajar aspirasi Segulai Sejalai dan Sabah Maju Jaya," tambahnya.









Comments