Sabah berdaulat, kenyataan Senator Filipina tidak berasas - KEADILAN Sabah
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 2 min read

KEADILAN Sabah menegaskan bahawa Sabah kekal sebagai wilayah berdaulat dalam Malaysia dan sebarang cubaan untuk menghidupkan semula tuntutan oleh pihak luar adalah tidak berasas serta berpotensi menggugat hubungan diplomatik serantau.
Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Ahmad Farid Sainuri (gambar) berkata, pihaknya memandang serius kenyataan berulang oleh Senator Robin Padilla yang cuba membangkitkan semula isu tuntutan wilayah Sabah oleh Filipina.
"KEADILAN Sabah memandang serius kenyataan berulang oleh Senator Robin Padilla yang cuba menghidupkan semula isu tuntutan Sabah oleh Filipina. Kenyataan sebegini jelas bukan sahaja tidak berasaskan realiti semasa, malah dilihat dangkal dalam menghadapi krisis tenaga dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, isu Sabah telah lama diselesaikan berdasarkan sejarah, undang-undang serta kehendak rakyat, termasuk pembentukan Malaysia pada tahun 1963 yang berteraskan prinsip penentuan nasib sendiri yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata, cubaan membangkitkan semula isu itu dilihat sebagai pendekatan populis yang tidak mengambil kira implikasi terhadap hubungan dua hala Malaysia dan Filipina.
"Cubaan Robin Padilla untuk membangkitkan semula tuntutan ini hanya menunjukkan kecenderungan menggunakan sentimen nasionalis secara populis bagi meraih sokongan politik, tanpa mengambil kira implikasi terhadap hubungan diplomatik dua hala," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Farid menegaskan bahawa realiti perundangan antarabangsa turut memuktamadkan kedudukan Sabah dalam Malaysia.
Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada Jun 2023 yang menolak tuntutan kumpulan Sulu bernilai hampir USD14.9 bilion terhadap Malaysia, serta keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada Disember 2025 yang membatalkan sepenuhnya “Final Award”, membuktikan tuntutan tersebut tidak mempunyai asas undang-undang.
"Kemenangan berturut-turut ini membuktikan bahawa segala cubaan pihak tertentu untuk mencabar kedaulatan Sabah dalam Malaysia hanyalah sia-sia dan akan terus ditolak oleh sistem perundangan antarabangsa," katanya.
Beliau menambah, perkembangan itu sekali gus menutup ruang kepada mana-mana pihak untuk memanipulasi isu Sabah melalui saluran undang-undang antarabangsa.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim terus memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat Sabah, khususnya dalam mendepani ketidaktentuan harga tenaga global.
Menurutnya, langkah mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak serta pelaksanaan subsidi bersasar melalui program BUDI MADANI bagi petrol RON95 membantu menstabilkan kos sara hidup rakyat.
"Langkah ini bukan sahaja membantu menstabilkan kos sara hidup rakyat, malah memastikan sektor logistik, perikanan dan pengangkutan di Sabah terus beroperasi tanpa tekanan kenaikan harga bahan api yang mendadak. Ia mencerminkan pendekatan kerajaan yang pragmatik, berimbang dan berpaksikan keperluan rakyat," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Sabah adalah berdaulat dalam Malaysia dan sebarang cubaan mempertikaikan perkara itu, sama ada melalui retorik politik atau propaganda, adalah tidak bertanggungjawab.
"KEADILAN Sabah menyeru semua pihak agar menghormati kedaulatan negara dan tidak menjadikan isu sensitif ini sebagai alat politik murahan. Fokus seharusnya diberikan kepada memperkukuh kerjasama serantau demi kesejahteraan rakyat," katanya lagi.




Comments