RUU Tadbir Urus Kecerdasan Buatan ambil kira isu hak cipta, harta intelek
- Suara Keadilan

- 16 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmla Manaf
Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang sedang digubal akan mengambil kira isu hak cipta dan harta intelek dengan jaminan undang-undang sedia ada termasuk Akta Hak Cipta 1987 terus terpakai dan boleh dikuatkuasakan.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggubalan RUU itu masih di peringkat awal dan akan melalui proses libat urus bersama jawatankuasa khas Parlimen bagi memastikan perlindungan terhadap pencipta dan pemegang hak tidak terjejas susulan perkembangan teknologi AI.
"Oleh kerana AI merupakan satu pendekatan dan ikhtiar baharu, ia juga memastikan bahawa undang-undang yang ada sekarang ini harus terpakai dan boleh dilaksanakan.
"Jadi di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), undang-undang itu harus mampu dilaksanakan. Jadi (ianya merangkumi) dua aspek (iaitu) satu daripada sudut yang ditanya oleh Rodziah (Ampang) tentang kemasukan atau (maklumat) yang ditelan dalam sistem AI.
"Kedua (maklumat) sedia ada yang dimuntahkan atau dikeluarkan hasil kerangka dari kemasukan sedia ada daripada sistem AI itu dalam beberapa ikhtiar dan penemuan baharu.
"Ini memang ada dalam undang-undang sedia ada iaitu Akta Hak Cipta 1987 yang mesti dilaksanakan dengan berkesan (dan) MyIPO juga diminta digerakkan supaya pantau secara lebih berkesan," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).
Anwar menjawab pertanyaan Rodziah Ismail [PH-Ampang] yang ingin tahu bagaimana RUU Tadbir Urus AI menangani isu hak cipta dan harta intelek natijah sistem AI dilatih menggunakan data dan maklumat berhak cipta termasuk teks, imej, audio dan video serta perlindungan hak pencipta dan pemegang hak akibat penggunaan karya tanpa kebenaran.
Mengulas pendekatan berperingkat yang bakal diperkenalkan, Anwar berkata usaha menangani permasalahan dan risiko melibatkan AI sememangnya terangkum dalam kerangka tersebut, termasuk mekanisme pelaporan kemudaratan dan insiden (harms and incident reporting).
"Ini sebenarnya melibatkan soal etika kerana kelemahan ketara dalam sistem AI dan digital yang diperkenalkan sekarang ini seolah-olah mengenepikan pertimbangan etika dan bagi negara kita (yang sedang) dalam penggubalan ini.
"Apabila kita membicarakan soal risiko serta pelaporan kemudaratan dan insiden, isu hak warga serta bahaya akibat pengabaian pertimbangan etika tentunya dimuatkan (dalam rangka itu).
"Saya fikir pihak penggubal akan memberi perhatian yang khusus berbeza daripada pendekatan yang diamalkan di Barat sekarang," ujarnya lagi.



Comments