RUU perluas bidang kuasa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak diluluskan
- Suara Keadilan

- Jul 1
- 1 min read

Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 di luluskan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Pindaan itu sekaligus memperluas bidang kuasa akta agar pelaku tidak terlepas daripada tindakan undang-undang sekalipun kesalahan dilakukan di luar negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran (gambar) ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, pindaan berkenaan tidak bermaksud Malaysia akan secara automatik mengambil alih semua kes berlaku di luar negara.
Menurutnya, negara tempat kesalahan berlaku kekal mempunyai bidang kuasa utama untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan mengikut undang-undang masing-masing.
"Sekiranya laporan dibuat di kedua-dua negara, pihak berkuasa akan berunding dan bekerjasama melalui saluran kerjasama antarabangsa bagi menentukan tindakan yang paling sesuai berdasarkan fakta kes, keterangan, lokasi saksi dan kepentingan keadilan,” katanya.
"Jika seorang warganegara Malaysia ditahan di luar negara, termasuk di lapangan terbang negara berkenaan, tindakan awal tertakluk kepada undang-undang negara tersebut. Matlamat pindaan untuk mengelakkan pertindihan prosiding dan memastikan pelaku tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
"Sebarang pendakwaan di negara ini bergantung kepada sama ada syarat pemakaian luar wilayah di bawah akta dipenuhi, kecukupan keterangan serta keputusan Pendakwa Raya," katanya dipetik laporan media tempatan.
Mengulas kebimbangan beberapa Ahli Parlimen mengenai pelaku yang pulang ke Malaysia selepas disiasat di luar negara, beliau berkata pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam memastikan keadilan ditegakkan.
"Semestinya ada siasatan lanjut yang akan dibuat di negara ini...pihak polis tahu apa yang terjadi dan jika perlu dia akan ditahan dan siasatan lanjutan akan dibuat. Tidak ada kompromi supaya keadilan dapat ditegakkan," tambahnya.




Comments