RUU Pekerja Gig sedia perlindungan sosial, kadar upah terbaik
- Redzuan Shamsudin
- 9 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menyeru semua pihak khususnya Ahli Parlimen untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 demi masa depan yang lebih cerah untuk semua pekerja gig di negara ini.
Seruan itu dilakukan oleh Penasihat PPRPM, Bryan Ng Yih Miin bersama Pengerusinya, Haris Fadillah Arsyad selepas melihat manfaat yang bakal diperolehi oleh pekerja gig.
Katanya, RUU itu merupakan langkah progresif yang akan membawa pelbagai manfaat kepada pekerja gig, terutamanya rakan-rakan penghantar yang sentiasa terdedah kepada bahaya di jalan raya.
''Antara manfaat utama yang dilihat adalah perlindungan sosial yang lebih baik dan lebih mudah dikuatkuasakan. Ia juga mengubah sistem pembayaran caruman kepada ‘postpaid’, yang bermaksud perlindungan diperoleh sebelum pembayaran dibuat.

''Kadar caruman juga lebih mampu milik, iaitu RM0.0125 bagi setiap RM1 pendapatan. Ini adalah satu berita baik bagi semua rakan penghantar.
''Faedah seterusnya adalah hak pendapatan yang jelas iaitu RUU itu akan mewujudkan Majlis Tiga Pihak (tripartite council) yang rasmi di mana pekerja dan majikan akan bersama-sama menentukan kadar bayaran.
''Ini akan memberikan suara kepada pekerja dalam isu upah, sesuatu yang tidak wujud sebelum ini. Ia juga melarang majikan daripada memotong pendapatan secara sewenang-wenangnya,'' kata mereka dalam satu kenyataan.
Manfaat seterusnya ujar mereka adalah berkaitan mekanisme penyelesaian pertikaian dan RUU itu menyediakan proses yang jelas untuk pertikaian industri dengan penubuhan Tribunal Pekerja Gig.
Kata mereka, ia merupakan satu kemajuan besar berbanding ketiadaan hak dalam pertikaian industri sebelum ini.
''Selain itu, terdapat juga definisi dan perlindungan yang jelas menyaksikan RUU ini memberikan definisi yang jelas kepada pekerja gig, yang tidak wujud dalam Akta Kerja 1955.
''Ia juga akan memberikan perlindungan perburuhan asas kepada pekerja gig.
''Kami percaya bahawa RUU ini adalah satu langkah ke hadapan dalam menjamin kebajikan dan kesejahteraan pekerja gig.
''Ia bukan sahaja melindungi hak-hak pekerja, tetapi juga menggalakkan amalan pengurusan buruh yang terbaik dan meningkatkan kredibiliti syarikat,'' ujar mereka yang menyatakan sokongan padu kami terhadap RUU tersebut yang telah dibentangkan di Parlimen.