Oleh: Helmi Mohd Foad
Cadangan agar digubal Rang Undang-Undang (RUU) Parlimen Berpenggal Tetap harus dilihat sejauh mana ia menghakiskan amalan demokrasi di negara ini.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, hal itu kerana negara yang dianggap mahaguru demokrasi dunia seperti Amerika Syarikat (AS) turut menetapkan tempoh pentadbiran seseorang Presiden mengikut penggal tetap.
"Kalau kita lihat seluruh dunia banyak Presiden memang penggal tetap, kita contohi Westminster model, rang undang-undang penggal tetap dilaksana walaupun lepas itu bising macam di sini, juga di United Kingdom.
"Jadi saya cukup yakin kerajaan perlu menilai, sama ada sejauh mana demokrasi kalau ikut model British atau di Indonesia dan AS, negara yang mengatakan mereka demokrasi ini.
"Bahkan kita menganggap demokrasi di Indonesia lebih vibrant daripada kita, tapi kena penggal tetap tidak boleh mansuh," katanya dalam program Bicara Tokoh di pejabat Majlis Profesor Negara (MPN), Kajang hari ini.
Wan Junaidi berkata pihaknya cukup yakin kerajaan mempunyai maklumat yang tepat adakah RUU itu perlu segera digubal atau tidak.
"Mungkin kumpulan minoriti bising tapi majoriti nak kestabilan, yang tak bunyi, tak cakap jadi kerajaan boleh menilai dari sudut itu, sama ada adakah kritikal (maka) perkara ini dilaksanakan secepat mungkin," ujarnya yang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang).
Bagaimanapun, jelas beliau RUU tersebut memberikan rintangan kepada amalan demokrasi di negara ini dari sudut kuasa Perdana Menteri mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan membubarkan Parlimen.
Katanya, perkara itu sukar memberikan laluan diadakan Pilihan Raya Umum meskipun sebelum tamat tempoh lima tahun Parlimen atau pada bila-bila masa.
"Tapi kalau kita tetaplan tarikh pilihanraya dalam masa lima tahun, maknanya kuasa PM yang kita tarik sebenarnya," ujar beliau.
Meskipun terdapat peruntukan membenarkan Yang di-Pertuan Agong menangguhkan pembubaran Parlimen tetapi tiada garis panduan khusus tempoh boleh diberikan kepada baginda sekiranya ingin berbuat demikian, katanya.
"Berapa lama boleh tangguh, tapi jika kerajaan kucar-kacir, Tuanku akan tetap akur dengan permohonan PM untuk dibubar Dewan Rakyat. Dalam keadaan kuasa ini hilang, maknanya budi bicara duli tuanku dan kuasa PM mohon kepada baginda yang hilang dari sudut demokrasi," jelasnya.
Menurut Wan Junaidi, keadaan kerajaan hari ini berbeza dengan dahulu yang boleh menggubal apa sahaja RUU kerana memiliki kuasa majoriti lebih dua pertiga.
"Dulu kerajaan majoriti bulldoze, dia tidak kisah orang lain, buat mesti lulus tetapi sekarang kerajaan kena berjaga-jaga.
"Keduanya, media lebih aktif dalam mengkritik kerajaan dan kena akur kepada bunyi bising, mungkin ada betul atau tidak tapi kena peka," kata beliau lagi.
Kommentare