Rang Undang undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti akan dibahaskan mulai petang ini di Dewan Rakyat dan akan diundi pada esok hari.
Menurut Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah, RUU berkenaan amat dialu alukan pihak pembangkang kerana akhirnya ia dibentangkan selepas beberapa kali tertangguh.
"Kita gembira selepas kelewatan 8 bulan akhirnya undang undang ini kan dibentang untuk dibahas di Dewan Rakyat dan akan dilulus pada Khamis.
"Kita memerlukan majoriti 2/3. Tetapi saya nampak kali ini jumlah itu akan dicapai kerana kedua dua pihak kerajaan dan pembangkang majoriti sokong RUU ini.
"Inilah satu pendirian tegas yang diambil oleh PH, khususnya dalam Memorandum Kerjasama (MoU), itu antara syarat kita masuk MoU itu, dengan kerajaan mesti gubal dan lulus satu Akta Anti Lompat Parti untuk memastikan apa yang berlaku dalam Langkah Sheraton pada 2020 itu tidak boleh berlaku lagi," katanya
Walaupun, katanya, suatu ketika kerajaan seolah olah tidak mahu RUU tersebut dibentangkan namun akhirnya dengan semangat kerjasama kerajaan bersetuju membentangkannya.
Menurut Sivarasa lagi, kesan utama RUU itu adalah Ahli Parlimen atau ADUN yang melompat akan secara automatik hilang kerusi.
Katanya, Speaker Parlimen atau DUN akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya kerusi mana yang wakil rakyatnya telah melompat dan SPR akan mengadakan Pilihan Raya Kecil dalam tempoh 60 hari.
"Dengan ini wakil rakyat yang suka menukar parti akan berhenti (melakukannya). RUU itu masih benarkan parti keluar gabungan dan masuk gabungan lain. Tetapi secara individu dan kelompok (wakil rakyat maka) kerusi mereka dikosongkan secara automatik.
"Bagi saya pembangkang sokong RUU ini, dan ia dalam bentuk Pindaan Perlembagaan. Akta biasa tidak boleh digunakan selesaikan masalah ini sebab kita ada Perkara 10 Perlembagaan yang menjamin kebebasan tukar parti dan ada kes mahkamah yang terdahulu (membenarkan lompat)," katanya.
Pembangkang dan kerajaan memerlukan sokongan 147 Ahli Parlimen bagi meminda Perlembagaan dan seterusnya meluluskan Akta Lompat Parti.
Comments