Rundingan kerusi hampir selesai, pemilihan calon atas faktor boleh menang
- Redzuan Shamsudin
- Jun 26, 2023
- 2 min read

Perundingan kerusi di antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan tiba ke titik muktamad dalam beberapa hari lagi.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, perundingan tersebut berjalan lancar di keenam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk Selangor, dan hanya ada 2 kerusi yang belum diputuskan di negeri itu.
"Saya percaya Datuk Seri Anwar dah ada sesi dengan Presiden UMNO, dan ada peningkatan yang baik daripada jumlah kerusi keseluruhannya.
"Dan di Selangor masih belum selesai satu dua kerusi. InshaAllah saya percaya menjelang Aidiladha kita dah boleh pastikan kawasan, kerusi," katanya kepada wartawan selepas Program Jelajah Arus Merah Kuning di DUN Sungai Kandis, malam tadi.
Mengenai pemilihan calon pula, Amirudin berkata, semua bergantung kepada keupayaan boleh menang seseorang calon dan parti di kawasan yang ditetapkan.
"Formula kita adalah kemenangan. Iaitu parti, calon harus menampilkan kredibiliti dan juga asas sokongan terhadap parti parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan.
"Kita akan cuba letak calon yang boleh menang kerana kita nak menang. Kita datang sebagai incumbent dan ada track record pemerintahan negeri, dan juga corak pentadbiran PH sepanjang 15 tahun.
"InshaAllah rasionaliti rakyat bersama kita. Apatah lagi sekarang ini ada rakan rakan dari BN yang juga berpengalaman dalam hal ini. So gabungan ini saya rasa satu gabungan baik, apatah lagi untuk memastikan kestabilan dalam penggal ini terutama saat getir untuk kita pulihkan ekonomi," katanya.
Bagaimanapun, Amirudin enggan memberi sebarang butiran mengenai calon kerana hal itu masih belum dibincangkan di peringkat PH, hanya nama nama yang telah dikumpulkan, katanya.
Menjawab pertanyaan wartawan kononnya terdapat perebutan kerusi DUN Gombak Setia antara BN dan PH, Amirudin berkata hal itu lebih kepada spekulasi liar.
"Tidak betul. Kita adakan perbincangan, tak ada perebutan. Apa pun kita akan datang dalam koalisi perpaduan, elakkan pertembungan," katanya lagi.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor turut menolak dakwaan berlaku ketegangan antara BN dan PH selepas kenyataan mengguris hati pemimpin DAP Tony Pua tempoh hari.
Kata Amirudin, pemimpin UMNO tetap menghadiri rundingan kerusi seperti biasa malah UMNO menurunkan pemimpin kanan di peringkat negeri dan nasional untuk berunding.
Comments