Rundingan dagang di sidang ASEAN: PMX, Malaysia kuasa diplomasi dunia
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) berjaya menampilkan diri sebagai pusat diplomasi dunia apabila pelbagai rundingan dan perjanjian penting antarabangsa berlangsung serentak di ibu negara sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 kali ini.
Sidang kemuncak ASEAN yang dipengerusikan Malaysia bukan sahaja menghimpunkan pemimpin serantau, malah menjadi pentas penting yang menyaksikan kemuncak diplomasi global, apabila perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja berjaya dimeterai di Kuala Lumpur selepas rundingan berbulan-bulan.
Menurut penganalisis geopolitik, Dr Azmi Hassan pencapaian ini membuktikan Malaysia diiktiraf sebagai negara berkecuali yang berprinsip serta disegani oleh semua blok kuasa dunia.
"Sebab itu perjanjian diadakan di Kuala Lumpur, dan jangan lupa rundingan dagang dengan Amerika Syarikat dan China (di Kuala Lumpur) itu amat penting sekali kerana ianya menjadil batu loncatan sama ada Trump akan bertemu dengan Xi Jinping," kata Dr Azmi merujuk pertemuan yang bakal diadakan kedua pemimpin dunia itu pada sidang APEC di Seoul, Korea Selatan minggu ini.
Menurut beliau, pertemuan dua kuasa besar dunia itu melibatkan rundingan dagang berprofil tinggi di Menara Merdeka 118, dengan kehadiran wakil tertinggi kedua negara dilihat sebagai langkah penting ke arah menstabilkan hubungan perdagangan global yang kian mencabar.
"Diberitakan bahawa rundingan yang diadakan di Malaysia itu telah mendapat persetujuan antara kedua pihak dalam kerangka utama rundingan dagang antara kedua kuasa besar ini.
"Sebab itu dikatakan Trump begitu yakin bahawa beliau akan bertemu dengan Presiden Xi.
"Rundingan antara China dengan Amerika Syarikat di Seoul, di sidang APEC amat penting bagi bukan sahaja bagi kedua kuasa besar ini tetapi bagi seluruh dunia, dalam konteks ekonomi pasaran baru kerana ia akan menentukan hala tuju ekonomi global dunia," tambah beliau lagi.
Sementara itu, kata Dr Azmi, kehadiran Presiden Brazil dan Presiden Afrika Selatan pada Sidang Kemuncak ASEAN kali ini pula dianggap signifikan dalam memperkukuh kedudukan ekonomi serantau serta membuka peluang baharu ke pasaran global, termasuk Afrika dan Amerika Latin.
Kehadiran kedua-dua pemimpin berkenaan bukan sekadar simbolik, tetapi membawa makna strategik terhadap hala tuju kerjasama ekonomi ASEAN di bawah pengerusian Malaysia.
"Presiden Afrika Selatan hadir sebagai Pengerusi G20 ketika ini, manakala Brazil pula mengetuai BRICS. Ini membuka peluang kepada Malaysia dan negara ASEAN untuk menembusi pasaran baharu yang sebelum ini sukar diterokai, khususnya di benua Afrika dan Amerika Latin," katanya.
Beliau menjelaskan, penyertaan dua kuasa dari Selatan Global itu memberi isyarat bahawa ASEAN kini dilihat sebagai rakan dagang penting dalam ekosistem ekonomi global yang semakin pelbagai.
"Apabila pasaran ekonomi terbuka, bukan sahaja perdagangan yang berkembang, tetapi pelbagai bidang lain turut mendapat manfaat, termasuk pelaburan, teknologi dan pembangunan bersama," ujarnya.





