Pakatan Harapan (PH) sedia menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya diwujudkan rundingan bersama sebelum sesi Parlimen 6 November ini.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan yang dikeluarkan petang tadi, menyambut baik titah Agong menasihatkan semua Ahli Parlimen memberi sokongan kepada belanjawan demi kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
"Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi benteng rakyat Malaysia dari wabak Covid-19.
"Ia perlu menetapkan halatuju yang mampu memastikan negara terus maju sewaktu dan selepas pandemik - termasuk mengenalpasti strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi dan membantu jutaan rakyat yang terkesan.
"Berjuta-juta rakyat yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini. Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan.
"Atas sebab-sebab ini Majlis Presiden amat bersetuju dengan DYMM Yang di-Pertuan Agong bahawa amat penting dan serius untuk Belanjawan 2021 dirundingkan dengan Pembangkang sebelum dibentang di Parlimen," ujar kenyataan tersebut yang dikeluarkan sejurus usai mesyuarat di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, Selangor.
Sehubungan itu, Majlis Presiden PH mengharapkan Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin yang sebelum ini gagal mendapat perkenan Agong mengisytihar darurat ke seluruh negara untuk berkongsi dokumen belanjawan agar dimaklumi dan diberi sumbang saran oleh pihak Pembangkang.
Sekiranya hal itu gagal dilakukan, maka pihak PM Muhyiddin boleh dilihat tidak ikhlas mahu berdamai dan kekal berpoliticking biar pun ditegah Yang di-Pertuan Agong.
"Maka Perdana Menteri harus menjunjung titah Agong dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak Pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen, supaya ia dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku.
"Majlis Presiden yakin semua Ahli Parlimen akan terlibat di dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan belanjawan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, serta menepati aspirasi seperti yang telah dititah oleh Tuanku," kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, kenyataan bersama Majlis Presiden turut menjunjung kasih terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja di atas penolakan berprinsip terhadap permohonan PM untuk mengisytihar darurat.
"Kenyataan Majlis Raja-Raja bertarikh 25 Oktober menjelaskan pertimbangan yang telah diambil kira oleh Raja-Raja Melayu dalam isu yang amat serius ini.
"Duli-Duli Tuanku sedar tentang hak dan budi bicara serta peranan seperti yang termaktub di dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dalam mengimbangi pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi unsur penyalahgunaan kuasa, dan telah membuat keputusan berdasarkan perkara tersebut," kata mereka lagi.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Kommentare