Ruji Ubi dahului pesaing, diyakini pengundi, mampu buat kejutan di Merotai
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 3 min read

Oleh: Noraini Nordin
Sorotan PRN ke-17 Sabah: Menyusuri gerak kerja serta aktiviti kempen calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Haji Ruji bin Ubi (@rujiubi amat menarik, berstrategi serta diyakini mampu membuka hati pengundi untuk memilih beliau sebagai wakil rakyat baharu Merotai .
Meskipun berdepan dengan saingan empat penjuru untuk merebut kerusi DUN Merotai namun bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak tergugat, malahan terus tenang serta fokus `turun padang’ menyantuni pengundi ke akar umbi.
Sosok calon no 4 yang diberi amanah mewakili PH di DUN N.72 Merotai mudah diterima pengundi apatah lagi aura positif yang dimilikinya memberi nilai tambah untuk beliau memenangi hati pengundi kawasan tersebut.
Tinjauan pada minggu terakhir kempen, ternyata kerja keras Ruji dan pasukan tidak sia-sia kerana beliau kini menjadi calon yang mendahului pesaing yang menjadi pilihan pengundi.
Ruji bersama pasukannya telah melipatgandakan aktiviti walkabout dan ziarah rumah ke rumah tanpa mengira kaum serta lapisan masyarakat.
Ziarah Ruji juga memfokuskan kepada pengundi atas pagar, anak muda dan wanita di setiap pelusuk daerah mengundi.
Selain itu, beliau turut mengadakan dialog komuniti kecil, menyantuni masjid, gereja, dewan dan pusat komuniti,
Anak jati Merotai yang pernah menjadi tulang belakang penting pentadbiran negara selama berpuluh tahun diyakini pengundi membawa Merotai maju dan merealitikan impian untuk mensejahterakan rakyat kawasan tersebut.
Rata-rata pengundi Merotai terutama anak muda sudah tahu kemampuan Ruji yang selama ini berkemampuan mengurus negara dan rakyat.
Pengundi-pengundi juga mahu Ruji memikul amanah menabur bakti buat halaman sendiri demi Merotai yang lebih baik serta maju.
Mampu jadi penghubung Merotai dan Kerajaan Pusat
Antara faktor yang membuatkan pengundi memilih Rubi adalah kerana rekod perkhidmatan bersih serta mampu menjadi penghubung antara Merotai dan Kerajaan Pusat yang pastinya menguntungkan komuniti DUN tersebut.

Memasuki tempoh kurang 24 jam lagi untuk berkempen, penulis berpeluang mengadakan temubual dengan Ruji melalui komunikasi secara bertulis berkaitan perkembangan terkini di DUN Merotai.
Menurut Ruji beliau semakin bersemangat untuk terus meraih undi hingga ke garis penamat kempen kerana sambutan masyarakat Merotai amat positif.
"Saya melihat sambutan masyarakat Merotai sangat positif. Mereka bukan sekadar hadir di program tetapi juga menyuarakan harapan yang jelas mereka mahukan pemimpin yang bekerja, bukan sekadar berjanji.
"Rakyat mahu pembangunan yang lebih tersusun, peluang ekonomi yang adil dan penyelesaian segera terhadap isu asas
seperti infrastruktur, kemudahan pendidikan serta kebajikan.
"Suara rakyat ini memberi semangat kepada saya untuk membawa perubahan yang mereka impikan," katanya.
Ruji juga menjelaskan, berdasarkan pengalaman dalam pentadbiran dan perkhidmatan rakyat beliau menawarkan tiga fokus
utama kepada Merotai iaitu:
* Ekonomi: Memperkasa usahawan kecil, membuka lebih banyak peluang pekerjaan anak muda dan menarik program
latihan industri ke Merotai.
* Pendidikan: Memperbaiki kemudahan sekolah, menyokong PIBG serta program pembangunan pelajar termasuk
bimbingan akademik, TVET dan bantuan pelajar miskin.
* Sosial: Mengukuhkan jaringan keselamatan sosial, menaik taraf balai raya, masjid, rumah ibadat serta memperkukuh
peranan belia dan wanita dalam masyarakat.
Ujar beliau lagi, semua itu adalah perkara yang realistik dan boleh dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Persekutuan
Keutamaan selesai isu rakyat
Mengulas mengenai keutamaan kempen, Ruji berkata, perkara paling penting adalah menyelesaikan isu rakyat yang sudah lama tertangguh termasuk infrastruktur asas seperti jalan kampung, air bersih, lampu jalan, peluang ekonomi serta ruang pembangunan belia.

Jelas Ruji lagi jika beliau menang, perkara yang diutamakan iaitu mewujudkan Pusat Khidmat Rakyat Merotai yang cekap, terbuka dan responsif setiap hari.
Beliau juga akan melaksanakan Program Ekonomi Rakyat bantuan usahawan, incubator belia, latihan kemahiran serta penempatan kerja.
Tegas Ruji lagi, agenda pendidikan serta komuniti sokongan PIBG, pusat tuisyen rakyat, naik taraf kemudahan kampung akan diperkasakan.
Untuk rujukan, jumlah pengundi bagi N.72 Merotai ialah 26,179 orang yang terdiri daripada 13,513 lelaki dan wanita seramai 12,666 orang.









Comments