RPN 2026 - 35: Langkah menyeluruh tetap hala tuju pendidikan negara
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 diumumkan Kerajaan MADANI pada Selasa disambut baik dan disifatkan langkah menyeluruh kerajaan dalam menetapkan hala tuju pendidikan negara bagi tempoh satu dekad akan datang.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, pembaharuan pada peringkat awal pendidikan kanak-kanak hingga ke pengajian tinggi itu menunjukkan pendekatan lebih terancang dalam menangani cabaran pendidikan semasa, termasuk keperluan pasaran kerja, perubahan teknologi serta pembangunan modal insan jangka panjang.
Tambahnya, penekanan terhadap pengukuhan kurikulum, penilaian bersepadu serta fokus kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) serta pembangunan bakat pelajar juga merupakan langkah tepat bagi meningkatkan daya saing generasi muda.
"Selain itu, keputusan kerajaan menstruktur semula Tingkatan Enam dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi mulai 2027 akan memperkemas ekosistem prauniversiti, selain mengurangkan pertindihan dasar antara kementerian.
"Langkah ini penting untuk memastikan laluan pendidikan prauniversiti lebih jelas dan selari dengan keperluan institusi pengajian tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
RPN 2026-2035 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu sebagai dokumen hala tuju utama menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.
Ia dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar membabitkan 181 pakar tempatan dan 8,226 pihak berkepentingan, merangkumi sarjana, tokoh akademik, institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta, pihak industri serta wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Saifuddin turut menyambut baik pengecualian yuran pengajian kepada 3,000 pelajar orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam, politeknik dan kolej komuniti yang disifatkannya sebagai keputusan yang memberi kesan langsung kepada golongan memerlukan.
Langkah tersebut menurut beliau bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi membuka ruang pendidikan yang lebih inklusif dan saksama.
"Saya turut menyokong ketegasan kerajaan untuk mengekalkan Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai teras pendidikan di semua aliran sekolah, termasuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Ini dilihat sebagai usaha menyeimbangkan keperluan kemahiran global dengan pembinaan identiti kebangsaan," tambahnya.
Menerusi kenyataan sama, Saifuddin turut menyokong pelaksanaan Reformasi Sekolah Kebangsaan dengan pemilihan lima Sekolah Kebangsaan (SK) dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di setiap daerah sebagai sekolah inspirasi.
Langkah terbaharu itu jelasnya dijangka akan menjadi pemangkin mempertingkatkan kualiti pendidikan dan inovasi sekolah.
"Sementara itu, langkah kerajaan membuka sesi Prasekolah untuk kanak-kanak seawal usia lima tahun dan pendaftaran ke Darjah Satu secara sukarela untuk kanak-kanak berumur enam tahun mulai tahun depan adalah selari dengan keperluan mengembangkan potensi kanak-kanak lebih awal .
"Manakala, keputusan mengembalikan elemen ujian dan penilaian di Darjah Empat dan Tingkatan Tiga menunjukkan komitmen kerajaan memperkukuh asas pembelajaran murid," jelasnya.
Menyentuh mengenai pengumuman peruntukan RM100 juta untuk naik taraf bilik guru, beliau menyifatkannya sebagai bukan sahaja meningkatkan keselesaan pendidik, malah menegaskan tekad Kerajaan MADANI memastikan sistem pendidikan berada pada tahap terbaik.
"Justeru saya yakin, RPN 2026 ini mampu melahirkan generasi muda yang cerdas, berdaya saing, dan bersedia menghadapi cabaran masa depan," tambah Ketua Penerangan KEADILAN Negeri Selangor itu.









Comments