top of page

Lebih 12 ribu pelajar di parlimen Segamat terima Bantuan Awal Persekolahan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Yuneswaran (dua dari kanan) menyerahkan Bantuan Awal Persekolahan
Yuneswaran (dua dari kanan) menyerahkan Bantuan Awal Persekolahan

Oleh: Akmal Manaf


Keprihatinan terhadap masa depan pendidikan anak-anak jelas dizahirkan apabila Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran baru baru ini turun padang menghadiri Program Serahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Sekolah Kebangsaan Buloh Kasap, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan di bawah aspirasi Kerajaan MADANI.


Menurut Yuneswaran, seramai lebih kurang 600 murid telah menerima manfaat BAP di sekolah berkenaan. Manakala secara keseluruhan di Parlimen Segamat, seramai lebih kurang 12,000 pelajar daripada 43 buah sekolah telah menerima bantuan tersebut dengan jumlah peruntukan melebihi RM1.7 juta.


"Bantuan ini bukan sahaja membantu ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan, malah turut membantu pihak sekolah mengurus keperluan awal persekolahan dengan lebih teratur dan berkesan.


"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Hasni Osman, Guru Besar SK Buloh Kasap, Mohd Othman Abdullah dan seluruh warga pendidik SK Buloh Kasap atas layanan yang amat baik, kerjasama erat serta komitmen berterusan dalam mendidik anak-anak kita," katanya dalam muat naik di media sosial.


Yuneswaran yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara turut menzahirkan pujian dan sokongan penuh kepada Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dari tahun ke tahun terus menambah baik dan meningkatkan manfaat BAP demi kesejahteraan rakyat dan masa depan pendidikan negara.


"Usaha sebegini akan terus diperkukuh agar pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang berteraskan kesejahteraan, ihsan dan keadilan sosial.


"Untuk makluman, di bawah Kerajaan MADANI, BAP telah ditingkatkan daripada RM100 kepada RM150 bagi setiap murid dan diberikan kepada semua murid tanpa mengira latar belakang pendapatan ibu bapa.


"Pendekatan ini jelas berbeza berbanding kerajaan terdahulu yang lebih bersifat bersasar. Langkah ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada murid tercicir akibat kekangan kewangan, khususnya dalam suasana kos sara hidup yang mencabar," ujar beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page