Pelaksanaan segera projek pembangunan, kebajikan rakyat diutamakan - PM
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan untuk memastikan pelaksanaan projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat dilaksanakan secara segera, berkesan dan menyeluruh agar manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat pelbagai kaum dalam jangka masa panjang.
Menurut beliau, perkara itu ditegaskan dalam perjumpaan bersama pengurusan tertinggi Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dari ibu pejabat serta wakil-wakil dari semua negeri yang diadakan semalam.
"Saya telah menyampaikan amanat agar fokus utama diberikan kepada pelaksanaan segera projek-projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat secara berkesan dan menyeluruh supaya impaknya dapat dirasai rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya dalam muat naik di media sosial.
Anwar turut mengingatkan supaya sebarang isu pelaksanaan yang masih menekan dan berlarutan ditangani dengan segera oleh penjawat awam berdasarkan kebijaksanaan serta tatakelola yang telah ditetapkan.
"Isu-isu pelaksanaan yang masih menekan hendaklah terus segera ditangani oleh penjawat awam berdasarkan kebijaksanaan dan tatakelola yang ditetapkan bagi memastikan agar ia tidak membelenggu," ujarnya.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama dan penyelarasan strategik yang lebih kukuh antara semua perkhidmatan awam dan swasta di semua peringkat.
"Kerjasama dan penyelarasan strategik di antara semua Kementerian, Agensi dan pihak swasta di peringkat persekutuan, negeri dan daerah hendaklah terus diperkukuh agar tiada rakyat yang keciciran dalam usaha menuju negara maju," katanya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa pendekatan menyeluruh dan penyelarasan bersepadu adalah kunci bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan cekap, telus dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.









Comments