
Oleh: Abdullah Zaid
Barisan kepimpinan baharu dalam kabinet Kerajaan Perpaduan dilihat mampu merancakkan lagi usaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan tekad Malaysia MADANI.
Bagi Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai, rombakan kabinet itu dijangka boleh mewujudkan ruang kebersamaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.
Katanya, dasar MADANI yang dibawa Perdana Menteri itu juga perlu dizahirkan secara berpasukan antara kementerian yang lain.
"Saya rasa masyarakat dan penganalisis pasti akan berasa lega dengan pengumuman kabinet baharu yang diumumkan.
"Ia membuktikan bahawa Perdana Menteri dilihat amat responsif dengan pandangan rakyat dan satu langkah ke hadapan yang sangat positif," katanya dalam wawancara ‘Hala Tuju Kabinet Baharu’ yang dikendali SumberTv, malam tadi.
Wawancara itu turut dihadiri Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan sebagai panelis.
Mengulas lanjut, Dr Barjoyai mengingatkan setiap menteri Kabinet untuk mengutamakan kepentingan negara melebihi keperluan parti bagi memastikan agenda MADANI dapat direalisasikan.
Oleh itu, katanya, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan harus sedar dasar yang dibawa Perdana Menteri perlu diutamakan dan bukan sebaliknya.
"Apa yang lebih penting setiap menteri perlu melupakan semangat parti, sebagai menteri, bos mereka adalah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
"Oleh itu, mereka perlu lebih setia kepada kerajaan daripada parti agar dasar kerajaan berjaya dilaksana," ujarnya.
Pensyarah kanan itu juga menyeru agar kerajaan memberi tumpuan yang lebih kepada isu keterjaminan makanan yang masih banyak boleh diusahakan untuk negara menjadi pengeluar makanan dan tidak lagi menjadi negara pengimport.
"Jelasnya, aspek keselamatan makanan itu perlu dimajukan selain potensi baharu industri baharu yang boleh menjana ekonomi negara.
"Sepatutnya fokus ini boleh dilihat sebagai industri baharu yang boleh menjimatkan RM81 bilion kebergantungan kita kepada makanan import," ujarnya lagi.
Comments