top of page

Roboh setinggan : Hanya penduduk asal dapat rumah gantian - Rahim Kasdi



Isu perobohan penempatan setinggan di Kampung Sri Makmur, Gombak telah dimanipulasi oleh pihak pembangkang sehingga menenggelamkan isu sebenar di kawasan tersebut.


Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar (MB) Selangor, Rahim Ahmad Kasdi, isu utama di kampung tersebut telah dipesongkan serta tidak diulas secara tepat sehingga ada yang mendakwa Kerajaan Negeri memusnahkan penempatan tersebut secara semberono sehingga beberapa keluarga kehilangan tempat berteduh.


Sedangkan, katanya, setinggan yang diiktiraf oleh Kerajaan Negeri adalah penduduk asal yang terlibat dalam bancian pada tahun 2006 ketika tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu pertama kali dicadangkan untuk dimajukan.


"Perkara berkait Kampung Sri Makmur bermula sejak tahun 2006 apabila Kerajaan Negeri menawarkan rumah kepada penduduk setinggan yang menduduki tanah milik Kerajaan.


"Tawaran ini dibuat berdasarkan bancian penduduk setinggan asal yang dilaksanakan pada tahun 2006 oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PDTG).


"Sebahagian besar penduduk telah menerima tawaran Kerajaan Negeri untuk pindah ke rumah kos rendah di Selayang Mulia, manakala sekumpulan lagi menolak tawaran ini dan memohon pampasan


"MPS pada bulan Julai 2006 telah menjalankan operasi perobohan bagi unit-unit rumah yang telah dikosongkan," kata Rahim dalam kenyataan.



Namun kata beliau, oleh kerana kawasan tersebut tidak segera dibangunkan maka terdapat penceroboh baharu yang membina penempatan.


Pada tahun 2016, susulan keputusan untuk menyerahkan kawasan itu kepada pemaju hartanah maka Pejabat Daerah dan Tanah Gombak telah menjalankan satu lagi proses bancian untuk mengenalpasti penduduk setinggan asal yang menduduki kampung itu sejak tahun 2006 atau sebelumnya.


Bagaimanapun, kata Rahim, penduduk setinggan Kampung Sri Makmur dibiarkan dalam keadaan tidak menentu akibat Menteri Besar pada waktu itu, Mohamed Azmin Ali yang tidak dapat mencari jalan penyelesaian kepada isu setinggan.


Malah, ADUN Sri Gombak, Hilman Idham yang banyak kali muncul membela penduduk Kg Sri Makmur pula merupakan Pegawai Khas kepada Menteri Besar pada waktu itu.


"Apabila pentadbiran baharu (MB Datuk Seri Amirudin Shari) mengambil alih pada 2018, Kerajaan Negeri memutuskan kawasan itu harus dibangunkan secara tersusun dan PKNS telah mengambil langkah menjual tanah ini kepada Rexpoint Resources Sdn Bhd pada September 2020.


"Pada masa sama, Kerajaan Negeri berikhtiar agar penduduk asal Kg Sri Makmur harus menikmati peluang memiliki rumah sendiri selepas menetap dalam keadaan setinggan untuk tempoh yang lama.


"Menteri Besar telah mengarahkan supaya MPS, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, serta PKNS menyemak semula senarai bancian tahun 2006 dan 2016 dan mengesahkan senarai itu supaya dapat mengenal pasti penduduk setinggal asal untuk mengelak mana-mana pihak mengambil kesempatan.


"Ini menjadi asas yang membolehkan Kerajaan Negeri menawarkan pembelian Rumah Selangorku Seri Temenggung berkeluasan 750kps dengan subsidi sebanyak RM65,000 setiap keluarga serta bayaran pemindahan rumah sebanyak RM1,000 oleh pihak pemaju kepada 21 setinggan asal yang tersenarai," katanya.


Penduduk yang layak, kata Rahim, telah pun mendapat tawaran rumah pada 21 Mei 2024.


Bagaimanapun, katanya, terdapat mereka yang telah meninggalkan kawasan itu tetapi menuntut supaya diberikan pampasan yang sama seperti penduduk setinggan asal Kampung Sri Makmur.


"Selaku Setiausaha Politik, saya diarahkan oleh MB supaya sepanjang proses ini berjalan, kita harus membela penduduk setinggan asal meskipun kita mengakui memindah dari perkampungan asal ke kawasan perumahan baharu bukan satu proses yang mudah.


"Waima demikian, penyelesaian yang dicapai adalah bukti Kerajaan Negeri melaksanakan proses ini dengan cermat supaya sekurang-kurangnya penduduk setinggan asal mempunyai hak kepada rumah sendiri dengan harga subsidi yang tidak diperolehi komuniti lain," katanya.


Dalam pada itu, Rahim kesal dengan sikap pemimpin Bersatu yang menggunakan isu perkampungan setinggan itu untuk meraih simpati rakyat dan turut menggunakannya untuk meraih populariti menjelang pemilihan kepimpinan parti berkenaan.


Begitu juga, katanya, tuduhan pihak pembangkang kononnya pihak berkuasa dalam tindakan meroboh rumah dan surau beberapa hari lalu telah memusnahkan Al Quran serta ayat ayat suci lainnya tanpa rasa tanggungjawab.


"Dakwaan puluhan naskah kitab suci Al-Quran dimusnahkan dalam proses pengosongan Kampung Sri Makmur merupakan satu fitnah keji terhadap penjawat awam dan pegawai keselamatan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.


"Saya amat kesal dengan tindakan beberapa pemimpin yang ketagih politik dan menyalahgunakan isu ini semata-mata sebagai gelanggang kempen merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti yang akhirnya tidak akan membawa manfaat kepada rakyat," katanya lagi.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page