top of page

RM55.5 juta peruntukan Tabika, Taska Perpaduan untuk sesi 2026

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 13
  • 1 min read

Kerajaan MADANI memperuntukkan RM55.5 juta bagi memperkukuh kebajikan dan kualiti perkhidmatan Tabika Perpaduan serta Taska Perpaduan di seluruh negara bagi sesi persekolahan 2026.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang (gambar) berkata, peruntukan itu sekaligus membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak.


"Dana merangkumi pelbagai inisiatif termasuk bantuan makanan tambahan, geran per kapita, perlindungan insurans, kit permulaan persekolahan serta penambahbaikan kemudahan Tabika Perpaduan agar lebih kondusif dan selamat untuk murid.


"Langkah ini bukan sahaja membantu meringankan beban ibu bapa, malah memberi motivasi kepada murid untuk memulakan sesi pembelajaran dalam persekitaran yang lebih selesa dan berkualiti," katanya dipetik dalam ucapan di Program Santuni Murid Tabika Perpaduan Kembali Ke Tabika Perpaduan Sesi 2026 di Baru Salak Tinggi semalam.


Ucapan tersebut dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid.


Sementara itu menurut Aaron, Taska dan Tabika Perpaduan merupakan antara pusat pendidikan awal kanak-kanak yang menawarkan perkhidmatan percuma tanpa sebarang bayaran, sekali gus memastikan akses pendidikan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.


Untuk sesi tahun ini, seramai 33,307 murid berusia empat hingga enam tahun mendaftar di 1,781 Tabika Perpaduan, manakala 998 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun mengikuti pembelajaran di 41 Taska Perpaduan di seluruh negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page