RM4 bilion diperuntukkan untuk selesai isu banjir di Selangor
- Suara Keadilan
- Sep 5
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor menyatakan komitmen penuh untuk menyelesaikan masalah banjir melalui pelaksanaan projek mitigasi bernilai RM4 bilion.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim (gambar) berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM3.5 bilion disediakan oleh Kerajaan Persekutuan manakala RM500 juta lagi ditanggung Kerajaan Negeri.
"Saya turun ke setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti punca banjir selain mendapatkan maklum balas mengenai projek yang masih terbengkalai.
"Kita nilai satu persatu projek yang perlu diluluskan supaya masalah banjir ini dapat diselesaikan segera," katanya dipetik selepas merasmikan Bengkel Semakan Semula Pelan Pengurusan Bersepadu Lembangan di Shah Alam pada Khamis.
Tambah beliau, beberapa siri pertemuan bersama PBT, termasuk yang pertama bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada Mei lalu telah diadakan.
Hasil perbincangan itu, sebanyak 17 projek dikenal pasti perlu dilaksanakan segera di 13 kawasan berisiko banjir, antaranya Meru dan Pandamaran.
"Saya telah turun ke Klang, Shah Alam, Subang Jaya, Kuala Selangor, Kajang dan Selayang. Seterusnya akan ke Sepang supaya tindakan mengatasi masalah banjir disegerakan," ujarnya.
Comments