RM1 bilion dana bentuk Generasi Baharu Usahawan Bumiputera - PM
- Redzuan Shamsudin
- Mar 2, 2024
- 2 min read

Pembentukan Generasi Baharu Usahawan Bumiputera menjadi agenda utama Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi mengumumkan dana khas membentuk generasi usahawa baharu dengan peruntukan RM1 bilion yang akan dikendalikan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
"Saya mahu mempertanggungjawabkan GLC dan GLIC ini satu dana besar khusus bagi pembinaan generasi usahawan Bumiputera, RM1 bilion diluluskan.
"Kita mesti mampu mencipta lebih banyak usahawan Bumipuetera. Kita perlu mencipta lebih banyak syarikat usahawan Bumiputera berjaya seperti Aerodyne yang berjaya menembusi pasaran global dalam perkhidmatan dron. Kita juga harus berbangga dengan kejayaan Les Copaque dan Animonsta yang mengungguli industri karya kreatif.
"Begitu juga dengan kejayaan ramai usahawan muda yang memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi digital baharu untuk berniaga seperti saudara Khairul Aming," katanya.
Selain itu, Tanah Rizab Melayu yang banyak dibangkitkan dalam kongres juga akan diberi perhatian utama.
PM berkata, kerajaan mengamanahkan kepada Permodalan Nasional Berhad untuk memacu pembangunan komersial di Tanah Rizab Melayu.
"Pelaburan Hartanah Berhad telah pun membangunkan sebuah Hospital Pakar KPJ di Tanah Rizab Melayu di Sungai Penchala. Ini satu contoh baik.
"Kita juga setuju Skim Perumahan MADANI di Tanah Rizab Melayu dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik pada kadar segera," katanya.
Manakala di Bandar Malaysia, projek insfrastruktur yang telah diambilalih kerajaan, 50 ekar tanah kerajaan diperuntukkan untuk rizab Melayu di tengah tengah Kuala Lumpur bagi memudahkan Bumiputera menjalankan aktiviti ekonomi di tengah tengah kota.
Begitu juga, katanya, di bandar bandar besar lain kira kira 200 ekar tanah kerajaan akan dijadikan Tanah Rizab Melayu.
Berkenaan latihan TVET yang menjadi fokus Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi selaku pengerusi Majlis TVET Kebangsaan yang telah menjayakan kolaborasi antara institusi TVET tempatan dengan lebih 200 pemain industri, kerajaan menambah kerancakannya dengan kerjasama Syarikat GLIC, GLC serta badan-badan swasta terpilih yang memberi komitmen untuk melatih seramai 100,000 pelatih TVET dalam tempoh lima tahun termasuk menyediakan tawaran pekerjaan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.
Syarikat terlibat, kata PM, termasuklah Petronas (industri minyak dan gas), Sime Darby (perladangan), MRCB (pembinaan), TNB (tenaga boleh baharu) dan Telekom Malaysia (digital).
Comments