RM1.4 bilion siapkan tebatan banjir, Kerajaan Madani serius bantu Kedah
- Suara Keadilan
- 25 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Pendedahan program tebatan banjir di Kedah dengan peruntukan sebenar RM1.4 bilion dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berlangsung membuktikan keprihatinan Kerajaan Madani untuk membantu rakyat negeri itu dalam menyelesaikan masalah banjir.
Aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali memuji kesungguhan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melaksanakan tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Kedah di bawah Belanjawan 2026.
Katanya, pendedahan oleh Exco Kedah merangkap ADUN Kuala Nerang, Munir Mohamad Yusoff Zakaria pada sidang DUN hari ini bahawa kesemua projek itu adalah inisiatif kerajaan Persekutuan, membuktikan komitmen Kerajaan MADANI membantu rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
Menurutnya, tujuh projek tersebut merangkumi RTB Sungai Kedah–Anak Bukit dengan peruntukan RM641 juta, RTB Pendang (RM350 juta), RTB Baling (RM15 juta), RTB Bandar Jitra Selatan (RM45 juta), RTB Baling Fasa 2 (RM156 juta), RTB Sungai Bongkok (RM68 juta) dan RTB Bandar Baru (RM150 juta).
Kata Hisyamuddin, selain tujuh projek berimpak besar itu, Kerajaan Negeri Kedah hanya melaksanakan Projek Tebatan Banjir Pengkalan Lebai Man di Kuala Muda dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.
Beliau menambah, tumpuan terhadap isu banjir di Kedah juga telah difokus secara berterusan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Kedah sejak beliau menerajui portfolio itu.

Pelaksanaan tujuh RTB ini dijangka dapat mengurangkan risiko banjir besar yang menjejaskan lebih 100,000 penduduk Kedah, di samping mengelakkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa setiap kali musim tengkujuh.
Katanya lagi, antara projek baharu yang bakal dilaksanakan ialah RTB Bandar Baru bernilai RM150 juta di sekitar Sungai Serdang, Sungai Chekong dan Sungai Kechil Hulu yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk di kawasan terlibat.
Ia termasuk Kampung Serdang, Kampung Bukit Kechil, Kampung Sungai Lembu, Kampung Baru Jaya serta beberapa taman perumahan di Kulim Bandar Baru.
Ujarnya, usaha berterusan kerajaan pusat ini menunjukkan keprihatinan tinggi pemimpin Madani terhadap kesejahteraan rakyat Kedah, walaupun mereka sering menerima serangan daripada pimpinan Pas negeri, termasuk Menteri Besar Kedah dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang.
"Dalam isu banjir kali ini, baru nampak Kerajaan Madani benar-benar serius membantu rakyat Kedah.
"Walaupun mereka sering diserang oleh pimpinan Pas, Perdana Menteri dan Datuk Seri Saifuddin Nasution tetap memberi tumpuan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik," katanya.
Terdahulu, Munir menjawab soalan wakil rakyat Anak Bukit Rashidi Razak mengenai projek RTB Sungai Kedah-Anak Bukit yang mahu ia disegerakan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.





