top of page

Rekonsiliasi dalaman bakal pacu kebangkitan UMNO menjelang PRU16?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 40 minutes ago
  • 2 min read

Usaha memperkukuh perpaduan dalaman dilihat sebagai kunci utama kebangkitan semula UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata penganalisis politik, Shahbudin Embun (gambar).


Beliau berpandangan parti itu kini berada pada landasan pemulihan yang semakin stabil di bawah kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas melalui tempoh mencabar beberapa tahun kebelakangan ini.


"UMNO hari ini berada dalam situasi yang semakin selesa. Jika usaha memanggil semula ahli-ahli yang pernah dipecat atau digantung dilaksanakan secara proaktif, saya yakin parti ini akan kembali berkembang dengan lebih subur," katanya.


Menurut Shahbudin, pendekatan membuka ruang kepada bekas ahli yang pernah dikenakan tindakan disiplin untuk kembali berperanan dalam parti itu merupakan langkah matang yang mampu memperkukuh kekuatan.


"Memberi peluang kedua tanpa syarat mencerminkan pendekatan ‘memaafkan dan melupakan’ demi kepentingan parti dan orang Melayu secara keseluruhan," ujarnya.


Beliau turut mencadangkan agar ibu pejabat UMNO menyalurkan maklumat secara menyeluruh kepada peringkat negeri dan bahagian bagi memastikan usaha menghubungi semula bekas ahli dapat dilaksanakan secara tersusun.


"UMNO tidak mempunyai banyak masa. Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, semua pihak perlu bersatu dan memperkukuh jentera parti.


"Kembalinya tokoh-tokoh berpengalaman seperti Khairy Jamaluddin (KJ) pastinya mampu memberi impak besar," katanya.


Tambah beliau, aspirasi untuk mengembalikan UMNO sebagai kuasa dominan politik Melayu bukan sesuatu yang mustahil sekiranya semua pihak bersedia mengetepikan perbezaan dalaman.


Untuk rekod, pada 6 Mac lepas, Dr Zahid mengumumkan membuka pintu UMNO seluasnya kepada mana mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali bersama parti itu.


Menyahut seruan berkenaan, Dr Zahid memaklumkan pada 16 Mac bahawa bekas pimpinan UMNO, KJ telah menyerahkan surat rayuan untuk menyertai semula parti tersebut.


Kehadiran KJ, menurut penganalisis akan menguatkan kembali kedudukan UMNO menghadapi segmen pengundi muda menjelang PRU 16 yang dijangka paling awal diadakan pada hujung tahun ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page