Gerakan Reformasi selepas 20 tahun tidak hanya terhad kepada memperjuangkan perubahan politik, sebaliknya NGO reformis giat membantu rakyat, terutama ketika menghadapi pandemik Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Setiausaha Agung Jingga 13, Afzainizam Rahman, sepanjang PKP lalu banyak NGO reformis mengambil tanggungjawab menghantar bekalan keperluan harian sebagai khidmat sosial kepada golongan memerlukan.
Katanya, NGO Jingga 13 juga tidak terkecuali menggerakkan jentera di seluruh negara membantu rakyat yang menghadapi detik-detik sukar terputus bekalan makanan ketika itu.
"Dalam Jingga 13 Malaysia, kami bermuafakat mengumpul dana untuk membantu rakyat sewaktu PKP. Semasa bulan Mac lalu koordinator negeri arahkan kami bergerak rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pejabat-pejabat DUN untuk menyampaikan sumbangan.
"Sukarelawan amat kurang waktu itu kerana banyak syarat dan peraturan yang perlu diikuti orang awam. Nak keluar rumah perlu ada surat. Jadi kami NGO berdaftar maka JKM keluarkan surat khas kepada kami untuk merentas negeri atau daerah.
"Oleh itu kita berjaya menghantar bantuan makanan. Ambil contoh Johor, Jingga di bawah pimpinan saudara Zabidi, bekas pemimpin Angkatan Muda KEADILAN, juga Jaafar. Mereka berinisiatif menulis surat kepada wakil rakyat untuk mendapatkan bajet. Jika tidak cukup mereka tambah duit sendiri. Di Pahang, sukarelawan Jingga juga berinisiatif ambil bekalan bantuan dari Kuala Lumpur.
"Selain bergerak dalam reformasi, kita juga perlu lakukan kerja-kerja kebajikan. Bila kita lakukan kerja seperti itu rakyat akan lihat reformis boleh lakukan banyak perkara," katanya dalam forum anjuran Gabungan Reformis Malaysia baru-baru ini.
Afzainizam juga menasihatkan para reformis di seluruh negara agar masuk ke mood berkempen selepas PKP dilonggarkan, memandangkan Pilihan Raya Umum ke 15 mungkin diadakan secara mengejut.
Menurut beliau lagi, kempen di negeri Selangor mungkin tidak sesukar mana kerana rakyat maklum polisi berkebajikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Namun, bagi reformis di negeri-negeri lain Afzainizam menyarankan agar mereka memberitahu masyarakat tentang kebaikan pemerintahan PH di Selangor yang boleh dilaksanakan di tempat mereka sekiranya gabungan itu diberi peluang memerintah.
"Banyak keistimewaan yang diberikan kerajaan Selangor, misalnya air percuma, kad kesihatan dan sebagainya. Ramai yang gembira dan polisi kebajikan ini boleh dikempenkan keluar.
"Dulu orang kata tak mungkin Selangor boleh buat. Tetapi kita buat selepas kurangkan ketirisan. Bila kita jimatkan, kita boleh salurkan kepada rakyat. Dan di negeri lain pun hal ini boleh dilakukan," katanya lagi.
Comments