Ungkapan Reformasi yang bergema di jalan jalan utama kota Kuala Lumpur pada 25 tahun lalu hari ini telah bertukar menjadi sebahagian dasar kerajaan dan sedang bergerak untuk merobah tatakelola pentadbiran negara kepada lebih baik.
Koordinator Gabungan Reformis Malaysia (GRM), Mustaffa Kamil Ayub berkata demikian ketika di minta mengulas sindiran pembangkang PN kononnya reformasi yang diperjuangkan sejak 25 tahun lalu telah mati apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebas Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan baru baru ini.
"Apabila persoalan dibangitkan reformasi telah mati, saya fikir tidak betul dan ia satu tanggapan yang salah. Benar ada beberapa kes pemimpin negara yang cuba dikaitkan atas pertuduhan pertuduhan.
"Namun PMX melepaskannya kepada pihak kehakiman untuk menentukan dari segi perundangan. Persoalan dari segi undang undang saya fikir kita serahkan sahaja kepada badan kehakiman atau perundangan (Peguam Negara) untuk menentukannya
"Kita tidak perlu pandang sinikal kepada proses yang ada. Tambahan pula bahawa sepanjang mereka (PN) lebih 33 bulan memerintah benda itu tidak ada berlaku (perubahan) apa apa pun," katanya kepada Suara Keadilan.
Tegas Mustaffa yang juga Presiden RAPAT Rakyat, pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini memilih jalan tengah dengan menganjurkan reformasi pentadbiran.
Katanya, pembangkang yang mahu perubahan total dalam kadar segera tidak wajar menuntutnya melalui reformasi
Dalam reformasi, kata mantan Naib Presiden KEADIAN itu, semua proses terutama perundangan dan Perlembagaan kekal, dan sekiranya proses itu menyebabkan Zahid bebas maka rakyat harus menerimanya.
"Saya kira dalam mana mana reformasi perubahan itu bukanlah secara revolusi, itu beza di antara reformasi dan revolusi.
"Reformasi ambil jalan lebih sederhana dalam pendekatan menangani kepincangan yang ada. Di samping pastinya kita ada undang undang negara, Perlembagaan dan Raja Berperlembagaan yang mesti dihormati dalam proses melaksanakan reformasi. Ini mungkin berbeza dengan revolusi, sama ada revolusi Perancis atau revolusi Iran sebagai contoh
"Kita ambil jalan pertengahan reformasi. Tetapi jauh lebih pantas daripada transformasi yang pernah kerajaan sebelum ini popularkan
"Kita ambil jalan tengah, kita ambil reformasi. Untuk itu kita mesti menghormati institusi yang ada, sama ada kehakiman, raja , Perlembagaan dan sebagainya," kata beliau lagi.
Baru baru ini dalam tunjuk perasaan pada 16 September, pembangkang melaungkan "reformati" bagi menggambarkan sinikal kononnya reformasi tidak lagi menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan selepas ulang tahun ke 25 gerakan berkenaan.
Namun tunjuk perasaan itu sendiri tidak mendapat sambutan warga kota yang percaya perubaahan baharu pada peringkat permulaan dan perlu masa untuk merealisasikannya.
Comentarios