
Cabaran gerakan Reformasi setelah 25 tahun dan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara ialah untuk merakyatkan reformasi.
Menurut Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Omar Mokhtar A Manap, prinsip reformasi perlu menjadi hak kepada semua rakyat dalam membetulkan negara.
"Kalau kita kata nak ubah, kita kena letakkan reformasi sebahagian daripada apa yang rakyat percaya dan rakyat bersama sama (dalam proses perubahan)," katanya kepada Suara Keadilan.
Manakala dalam konteks kerjasama politik Kerajaan Perpaduan pula, kata Omar, KEADILAN mahu pun PH perlu percaya kepada proses.
Bagi beliau, selepas Pilihan Raya Umum 2018 dinamik politik negara telah jauh berubah dan politik lebih kepada penyatuan berbanding pertembungan seperti sebelum ini.
Mengenai prestasi pilihan raya negeri yang baru lalu pula katanya, penyokong dan rakyat perlu disesuaikan dengan gabungan politik baharu berupa Kerajaan perpaduan.
Jelasnya, suatu ketika dahulu apabila wujud Muafakat Nasional misalnya, yang menyatukan dua musuh ketat UMNO dan Pas, pada peringkat awal rakyat tidak menerima tetapi kemudian keadaan berubah. Begitulah proses yang akan berlaku kepada Kerajaan Perpaduan.
"Kita tengok peringkat awal (MN) kalah banyak tempat. DUN Seri Setia kalah, Sungai Kandis kalah. Tetapi selepas itu pola sokongan rakyat itu berbeza. Begitu juga keadaan sekarang kita melihat benda yang sama.
"Sebab sekarang kita sedang buat perubahan. Rakyat belum merasa sepenuhnya. Kita optimis selepas rakyat merasai dasar yang dilaksanakan itu, pola itu juga akan berbeza. Yang penting Kerajaan Perpaduan kena kemas dan bergerak dengan baik," katanya lagi.