Reformasi mesti berterusan walau sudah pegang kuasa - Otai Reformis
- Suara Keadilan
- 5 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Pembentukan Kerajaan MADANI bukanlah penamat perjuangan, sebaliknya menandakan permulaan fasa baharu untuk memastikan idealisme reformasi diterjemahkan secara konsisten dalam dasar, tadbir urus dan budaya politik negara.
Dalam resolusi yang dibentangkan sempena forum anjuran Otai Reformis, gerakan itu menekankan komitmen untuk terus mempertahankan prinsip keadilan, integriti, kebebasan institusi serta akauntabiliti kuasa sambil menolak sebarang bentuk budaya patronage, kronisme dan politik kepentingan sempit.
Menurut resolusi bertajuk, "Forum Reformis Dalam Era Kerajaan MADANI" gerakan itu menekankan perjuangan perlu diteruskan berteraskan nilai moral dan etika, bukan sekadar penguasaan politik agar tidak terpesong daripada matlamat asal perjuangan rakyat.
"Reformasi bukan milik parti atau individu, tetapi amanah rakyat. Reformis mesti kekal menjadi suara nurani, pengimbang kuasa dan penggerak perubahan dalam era Kerajaan MADANI," demikian kata resolusi yang dibuat sempena Program Hari Keluarga Dan Rapat Reformis yang diadakan di Bukit Beruntung minggu lalu.
Menurut resolusi itu, golongan reformis juga perlu berani menegur secara berfakta, beradab dan bertanggungjawab, di samping berfungsi sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan.
Dalam aspek institusi, Forum Reformis menyokong penuh agenda reformasi Parlimen, kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta institusi penguatkuasaan lain.
Ketelusan dalam pelantikan jawatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selain jaminan kebebasan media dan akses maklumat turut ditekankan sebagai teras reformasi institusi.

Resolusi itu turut menuntut agar reformasi memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, khususnya golongan B40, M40, belia dan warga emas.
"Dasar-dasar Kerajaan MADANI perlu berlandaskan keadilan sosial dan ekonomi dengan keutamaan kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan serta penolakan terhadap pembangunan yang menindas rakyat bawahan," katanya.
Bagi memastikan kelangsungan gerakan reformasi, Forum Reformis menegaskan perjuangan ini bukan milik parti politik semata-mata, sebaliknya milik rakyat keseluruhannya.
Penyertaan aktif NGO, belia, golongan profesional dan aktivis akar umbi harus terus digalakkan selain usaha mewariskan idealisme reformasi kepada generasi baharu.
Sebagai tindakan susulan, Forum Reformis merancang beberapa inisiatif termasuk penganjuran siri forum dan dialog reformis secara berkala.
Gerakan itu turut menyarankan penubuhan Sekretariat Reformis MADANI, pemantauan polisi kerajaan melalui mekanisme ‘policy watch’, latihan dan pendidikan politik reformis, gerakan advokasi rakyat serta usaha dokumentasi dan pembinaan naratif sejarah reformasi.
Forum Reformis mengingatkan bahawa perjuangan reformasi hanya akan kekal bermakna sekiranya kuasa sentiasa dipandu oleh nilai dan suara rakyat terus menjadi roh perubahan.
"Kuasa tanpa nilai akan merosakkan reformasi dan reformasi tanpa rakyat akan kehilangan roh," kata resolusi Forum Reformis itu lagi.





