Back To School Bandar Tun Razak: 1,821 murid Tingkatan 5 terima sumbangan
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 1 min read

Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak pada 11 Januari lalu mengakhiri Jelajah Back To School siri kelima dengan penyampaian sumbangan persekolahan kepada 1,821 murid sekolah menengah Tingkatan 5 di seluruh Parlimen Bandar Tun Razak.
Program penutup jelajah itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menyampaikan sendiri sumbangan kepada para pelajar sebagai sokongan menjelang sesi persekolahan baharu.
Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri merangkap Ketua Cabang Bandar Tun Razak, Datuk Azman Abidin, program kali ini tampil dengan kelainan apabila setiap murid Tingkatan 5 menerima sebuah beg khas yang dicetak nama pelajar, nama sekolah serta tingkatan masing-masing.
"Ini bertujuan supaya murid-murid ini mempunyai memori bermakna tentang zaman persekolahan mereka. Harapannya, apabila suatu hari nanti mereka berjaya, mereka tidak melupakan sekolah mereka dan boleh membantu (sekolah)," katanya.

Beliau memaklumkan, secara keseluruhan pejabat Parlimen Bandar Tun Razak telah menyampaikan sumbangan Back To School kepada kira-kira 5,000 murid sekolah rendah dan menengah sepanjang tahun ini.
"Program ini telah bermula sejak tahun lalu. Pada ketika itu kita melaksanakannya dalam dua sesi, manakala tahun ini dilaksanakan dalam satu sesi," jelasnya.
Menurut beliau lagi, terdapat 10 buah sekolah menengah di Parlimen Bandar Tun Razak termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang terlibat dalam inisiatif ini.
Pada majlis selama juga setiap murid menerima sumbangan tunai RM100 yang dibiayai sepenuhnya oleh Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
"Untuk program hari ini, keseluruhan sumbangan datang daripada Pejabat Ahli Parlimen," katanya lagi.





