Reformasi institusi PMX tunjang pentadbiran negara - ABIM
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyifatkan amanat Tahun Baharu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), sebagai isyarat penting Malaysia sedang bergerak ke arah pembinaan negara MADANI yang berteraskan prinsip amanah, akauntabiliti dan kesejahteraan bersama.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin (gambar) berkata, ABIM menyokong usaha menjadikan reformasi sebagai tunjang pentadbiran negara, khususnya melalui pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
Ujar beliau, langkah berkenaan penting bagi mengukuhkan asas negara hukum dan mengekang salah guna kuasa secara berinstitusi.
"ABIM menegaskan bahawa agenda reformasi ini mesti disertai mekanisme pemantauan awam yang jelas, garis masa pelaksanaan yang boleh dinilai serta pelaporan berkala kepada rakyat bagi mengelakkan keletihan reformasi dan memastikan setiap komitmen dipertanggungjawabkan.
"Di samping itu, ABIM berpandangan reformasi negara wajar diperluas kepada pembaharuan struktur yang masih belum disentuh secara tuntas, termasuk reformasi pembiayaan politik, pengukuhan kebebasan media, pemerkasaan peranan Parlimen serta hubungan yang lebih tersusun antara kerajaan dan masyarakat sivil.
"ABIM menekankan bahawa kejayaan reformasi ini memerlukan sokongan padu seluruh ekosistem negara, merentas parti politik, institusi kerajaan, masyarakat sivil dan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Fahmi lagi, reformasi tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya menuntut kematangan politik dan kesediaan bersama meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan partisan.
Beliau berkata, pihaknya melihat tahun 2026 sebagai tahun ujian kepada keikhlasan dan keberanian reformasi, malah kejayaan sebenar bukan diukur melalui jumlah pengumuman, tetapi melalui pelaksanaan dasar yang konsisten, telus, berintegriti dan berpaksikan keadilan sosial.
"Sehubungan itu, ABIM akan terus berperanan sebagai rakan kritis yang konstruktif, menyokong setiap langkah yang memihak kepada rakyat serta menegur dengan hikmah dan tanggungjawab moral demi memastikan Malaysia benar-benar bergerak ke arah sebuah negara MADANI yang adil, berperikemanusiaan dan bermaruah.
"Kami juga menyambut baik pengumuman tujuh perkara utama oleh Datuk Seri Anwar semalam yang mencerminkan iltizam jelas Kerajaan MADANI untuk memulakan tahun 2026 dengan agenda reformasi institusi, keadilan sosial, pengukuhan ekonomi dan pemerkasaan rakyat," ujarnya lagi.
Semalam, Anwar yang juga Presiden KEADILAN mengumumkan beberapa perkara penting antaranya kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) mengenai pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya pada sesi Parlimen bermula Januari ini sebagai langkah reformasi institusi bagi memperkukuh tadbir urus negara.
Selain itu, menurut Anwar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said juga sedang memperhalusi RUU Ombudsman bagi meningkatkan akauntabiliti awam.





