top of page

'Reformasi bukan agenda sekular, Pas guna agama tutup kegagalan'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Tindakan pemimpin Pas membawa naratif mengaitkan agenda reformasi dengan sekularisme dan kerosakan moral negara hanyalah percubaan politik untuk menutup kegagalan pentadbiran dan ketidakjujuran kuasa, demikian menurut Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu.


Setiausahanya Ahmad Nadhir Yob berkata, kenyataan Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang yang menyerang reformasi sebagai agenda Barat dan punca keruntuhan sosial adalah mengelirukan rakyat.


Reformasi yang diperjuangkan kerajaan, katanya, tidak menyentuh akidah atau prinsip Islam sebaliknya menumpukan pembaikan sistem pentadbiran termasuk membanteras rasuah, menutup kebocoran wang rakyat, memperkukuh institusi kehakiman dan memulihkan integriti kerajaan.


"Semua tuntutan reformasi ini selari dengan maqasid syariah khususnya dalam menjaga harta, nyawa dan maruah.


"Melabelkannya sebagai sekular adalah satu penyelewengan fakta," kata beliau dalam satu kenyataan.


Ahmad Nadhir menegaskan percubaan membezakan istilah reformasi sebagai jahat dan islah sebagai baik hanyalah permainan bahasa yang bersifat manipulatif.

Ahmad Nadhir Yob
Ahmad Nadhir Yob

"Islah bermaksud pembaikan, reformasi juga pembaikan. Bezanya bukan pada istilah tetapi kejujuran melaksanakannya.


"Jika benar memperjuangkan islah, mengapa isu rasuah, projek gagal dan ketirisan hasil negeri masih berulang di negeri yang ditadbir Pas?" soalnya.


Beliau turut membidas dakwaan bahawa masalah sosial seperti jenayah, buli dan keruntuhan institusi keluarga berpunca daripada reformasi dan sekularisme.


Menurutnya masalah sosial berlaku di semua negeri termasuk yang ditadbir Pas dan berpunca daripada faktor sebenar seperti tekanan ekonomi, kemiskinan, ketidaksamaan sosial serta kegagalan dasar awam.


"Menyalahkan satu ideologi tanpa data hanyalah retorik politik, bukan kepimpinan bertanggungjawab," ujarnya.


Ahmad Nadhir juga menyifatkan pendirian Pas yang lantang mengecam Barat sebagai hipokrit memandangkan parti itu sendiri bergantung kepada sistem demokrasi, perlembagaan dan institusi pentadbiran moden yang dibentuk melalui sejarah kolonial dan tidak pun mengubahnya semasa 33 bulan berada dalam Kerajaan Persekutuan pada 2020 - 2022.


Beliau turut menolak dakwaan bahawa Islam terancam di bawah kerajaan yang mendukung reformasi, sambil menegaskan bahawa Islam kekal sebagai agama Persekutuan, institusi Mahkamah Syariah terus berfungsi, masjid terus dibina dan pendidikan Islam berjalan seperti biasa.


"Yang terancam bukan Islam, tetapi monopoli emosi politik yang dibina melalui ketakutan," katanya.


Mengulas dakwaan ‘penjajahan baharu’, Ahmad Nadhir berkata penjajahan sebenar hari ini ialah rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa yang merugikan rakyat.


"Rasuah ialah penjajah paling kejam dan ia tidak datang dari Barat, tetapi lahir daripada kerakusan manusia serta kegagalan tadbir urus," katanya.


Beliau menegaskan bahawa Islam tidak menolak reformasi sebaliknya menuntut keadilan, akauntabiliti dan amanah dalam pemerintahan.


"Yang gagal bukan reformasi, tetapi politik yang menggunakan agama untuk melindungi kegagalan dan mengekalkan kuasa," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page