Realisasikan semangat 'Kita KEADILAN', gerakkan kekuatan bersama - Amidi
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Persaingan kelompok dalam parti perlu disederhanakan bagi memastikan kestabilan dan kekuatan parti dapat dikekalkan di bawah kepimpinan yang diberkati.
Bagi Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Amidi Abdul Manan, semangat persaingan kelompok bagi mendapatkan kedudukan perlu diganti dengan semangat fastabiqul khairat, iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Katanya, semangat 'Kita Keadilan' mesti direalisasikan ahli parti dalam menggerakkan kekuatan secara bersama.
"Terima kasih Presiden kerana mempertegaskan kepada kami anggota KEADILAN untuk menekuni ayat 159 dari Surah Ali Imran (di penghujung ucapan dasar).
"Ayat itu adalah panduan yang Allah titipkan kepada Rasulullah SAW bagi berhadapan dengan situasi getir akibat kealpaan segelintir sahabat yang meninggalkan posisi sehingga tentera Islam hilang penguasaan di lapangan pertempuran.
"Jangan dipanjangkan kekecewaan dan kemarahan kerana ia akan menjauhkan dan melemahkan umat Islam dari kekuatan," katanya menerusi satu kenyataan.
Ujar Amidi lagi, keutuhan tekad merupakan prasyarat utama dalam menyerahkan diri secara total kepada Allah SWT.
Beliau berkata, seorang hamba yang benar-benar pasrah adalah mereka yang mampu menggamit kasih sayang Allah dan itu merupakan kejayaan hakiki.
"Justeru, marilah kita menjadikan usaha dan ikhtiar kita menerusi wadah KEADILAN sebagai jalan untuk menuju kejayaan di dunia dan akhirat
"Inilah hasrat dan cita-cita Presiden parti, seperti yang dinukilkan dalam prinsip rukun MADANI yang menekankan kesejahteraan merangkumi aspek dunia dan akhirat," katanya lagi.
Comentarios